PENGENDALI B-17 Osmera Omaro. -FOTO FAM
PENGENDALI B-17 Osmera Omaro. -FOTO FAM
Syazwan Msar


Kuala Lumpur:Skuad bawah 17 tahun (B-17) negara mampu tersenyum apabila Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) mengesahkan Thailand menjadi tuan rumah bagi penganjuran Piala Asia B-17 2023 sekali gus memberi banyak kelebihan kepada pasukan muda kebangsaan itu kelak.

Skuad muda Harimau Malaya layak ke Piala Asia B-17 secara merit selepas mengungguli Kumpulan B dengan dengan menewaskan Palestin, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan tuan rumah, Indonesia pada aksi kelayakan, Oktober lalu.

Pengumuman itu ternyata memberi kelegaan kepada skuad muda negara kerana tidak perlu mengharungi perjalanan yang panjang sekali gus akan mempengaruhi persediaan pasukan B-17 dalam mencipta keputusan positif di kejohanan Piala Asia itu.

Pengurus skuad B-17 kebangsaan, Christopher Raj mengesahkan beberapa perancangan awal sudah dilakukan dalam usaha memberikan pendedahan terbaik bagi memastikan anak buahnya tampil lebih meyakinkan.

"Saya gembira apabila kita tidak perlu merantau jauh bagi mengharungi kejohanan Piala Asia B-17 nanti selepas tuan rumah menjadi milik Thailand.

"Justeru, saya sudah melakukan persiapan awal dengan pasukan akan mengadakan kem latihan pusat di Qatar untung mengharungi beberapa siri persahabatan di sana penghujung bulan depan.

"Kemudiannya, kita juga akan merangka kem latihan di Thailand pada Mac disusuli siri jelajah terakhir di Jepun pada April nanti sebagai persiapan buat pasukan sebelum mengharungi kejohanan sebenar," katanya.

Mengikut rekod, skuad kendalian Osmera Omaro itu mempunyai masa hampir lima bulan untuk membuat persiapan sebelum mengharungi kejohanan remaja berprestij Asia yang dijadualkan berlangsung pada Mei tahun depan.

Ini adalah kali keenam skuad B-17 negara layak ke pentas Piala Asia B-17 selepas kali terakhir melakukannya pada edisi 2018 selaku tuan rumah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Disember 2022 @ 2:55 PM