NIKOLA Vlasic (dua kari kanan) meledakkan gol pertama Croatia. FOTO EPA
NIKOLA Vlasic (dua kari kanan) meledakkan gol pertama Croatia. FOTO EPA
SCOTT McKenna (dua dari kiri) kecewa ketika percubaannya gagal. FOTO AFP
SCOTT McKenna (dua dari kiri) kecewa ketika percubaannya gagal. FOTO AFP
AFP

Glasgow: Pemain tengah Scotland, Callum McGregor terpaksa akur akan kekalahan pasukannya kepada Croatia 1-3 yang menyaksikan skuad bimbingan Steve Clarke tersingkir daripada Euro 2020.

Croatia mengesah tempat ke pusingan kedua menerusi tiga gol yang diledakkan Nikola Vlasic, Luka Modric dan Ivan Perisic untuk mengakhiri harapan Scotland mara ke pusingan kalah mati buat pertama kali di kejohanan utama.

McGregor menjaringkan gol pertama buat negara dalam pertandingan utama dalam tempoh 23 tahun namun ia tidak dapat membantu kemenangan pasukannya.

"Ia satu yang bagus dapat menjaringkan gol dan mendapatkan gol pertama buat negara saya tapi akhirnya kami kecewa dengan keputusan ini," kata pemain tengah Celtic.

"Impian sudah musnah. Peminat sangat menakjubkan dan kami ingin mengucapkan terima kasih atas sokongan mereka."

Sementara itu Modric membantu Croatia mencipta kemenangan untuk membawa naib juara Piala Dunia itu ke pusingan 16 terakhir Euro 2020.

Nikola Vlasic meledak gol pembukaan Croatia pada minit ke-17, sebelum Callum McGregor menyamakan kedudukan buat Scotland.

Modric bagaimanapun, meletakkan Croatia kembali di depan apabila meledak jaringan pada minit ke-62 dan dia turut membantu Ivan Perisic melengkapkan kemenangan pasukannya.

Croatia mara selaku naib juara Kumpulan D di belakang England yang menjuarai kumpulan selepas jaringan tunggal Raheem Sterling membolehkan pasukan itu mencipta kemenangan 1-0 ke atas Republik Czech.

Czech bagaimanapun, turut melangkah ke peringkat kalah mati sebagai satu daripada pasukan tempat ketiga terbaik.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Jun 2021 @ 6:11 AM