ALVAREZ (kiri) sedia bantu Argentina raih kejuaraan. FOTO AFP
ALVAREZ (kiri) sedia bantu Argentina raih kejuaraan. FOTO AFP
AFP

Doha: Julian Alvarez hadir ke Piala Dunia sebagai watak sampingan untuk Argentina namun kini bersedia untuk mengharungi aksi final berdepan Perancis sebagai bintang baharu di jentera serangan.

Penyerang muda Manchester City itu hanya membarisi kesebelasan utama dalam satu perlawanan ketika kelayakan dan berada di belakang Lautaro Martinez bagi kempen di Qatar.

Dia gagal memberi impak apabila juara Copa America itu tewas 1-2 di tangan Arab Saudi pada aksi pembukaan, namun selepas diletakkan dalam kesebelasan utama pada aksi penting berdepan Poland, dia tidak lagi menoleh ke belakang.

Pemain yang diberi gelaran 'La Arana' (Si Labah-labah) menjaringkan gol penting untuk meletakkan Argentina berkelebihan 2-0 ke atas Poland sebelum meledak gol kemenangan ketika mereka menewaskan Australia 2-1 pada pusingan 16 terbaik.

Dia turut mencetuskan masalah ketika berdepan Belanda pada aksi suku akhir dan pada separuh akhir, dia memenangi penalti yang disudahkan Lionel Messi selain meledak dua gol dalam kemenangan 3-0 ke atas Croatia.

Dengan empat gol setakat ini, dia hanya ketinggalan satu gol di belakang penjaring terbanyak bersama, Messi dan Kylian Mbappe.

"Saya gembira secara peribadi dan juga untuk pasukan. Kami gembira dengan cara kami bermain. Kami layak beraksi di final dan inilah yang kami mahukan," kata Alvarez selepas aksi menentang Croatia.

Ini adalah persembahan yang amat diharapkan Lionel Scaloni.

"Pada usia seperti itu, adalah satu perkara yang normal di mana dia mahu menguasai dunia. Dia adalah pemain yang akan mengikut apa sahaja yang anda katakan," kata Scaloni.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Disember 2022 @ 1:54 PM