ALVAREZ meraikan gol keduanya. FOTO AP
ALVAREZ meraikan gol keduanya. FOTO AP
AFP

Doha: Berita buruk bagi sesiapa yang menentang Argentina dalam perlawanan akhir Piala Dunia, Ahad ini ialah Lionel Messi kini mempunyai rakan gandingan mantap.

Julian Alvarez menjaringkan dua gol ketika Argentina meraih kemenangan 3-0 ke atas Croatia, hari ini.

Selepas memperoleh penalti yang disempurnakan oleh Messi, Alvarez kemudian mendedahkan kelemahan benteng pertahanan Croatia apabila menjaringkan gol kedua.

Pemain yang memakai jersi nombor sembilan itu kemudian melengkapkan kemenangan bermakna Argentina dengan gol kedua peribadi pada separuh masa kedua hasil bantuan Messi.

Pemain berusia 22 tahun yang beraksi untuk Manchester City itu kini sudah meledak empat gol pada kejohanan ini sekali gus menyaksikannya hanya ketinggalan satu gol berbanding penjaring terbanyak yang dikongsi oleh Messi dan bintang Perancis, Kylian Mbappe.

"Kami berhak meraih kemenangan ini. Kami beraksi dengan bagus. Sekarang kami sudah berada di final dan perlu berehat serta mengharapkan perlawanan yang lebih baik pada Ahad ini.

"Secara peribadi saya sangat gembira. Kami gembira dengan cara kami bermain. Kami berhak berada di pentas final dan itulah juga yang kami mahukan," kata Alvarez.

Alvarez terpaksa bersaing untuk membarisi kesebelasan utama pada kejohanan ini dengan jurulatih, Lionel Scaloni pada mulanya lebih memilih Lautaro Martinez dari Inter Milan.

Penyerang berbakat itu bermula di bangku simpanan ketika Argentina tewas mengejut 1-2 kepada Arab Saudi pada aksi pembukaan peringkat kumpulan dan ketika meraih kemenangan 2-0 ke atas Mexico.

Dia membarisi kesebelasan utama ketika melakar kemenangan 2-0 ke atas Poland yang menyaksikannya meledak gol kedua sekali gus memastikan Argentina mara ke pusingan 16 terakhir.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Disember 2022 @ 8:42 AM