Penyerang Argentina, Lionel Messi. FOTO AFP
Penyerang Argentina, Lionel Messi. FOTO AFP
Agensi

Doha: Pembantu jurulatih Argentina, Pablo Aimar mengalir air mata apabila Lionel Messi menjaringkan gol pembukaan menentang Mexico, semalam.

Skuad The Albiceleste memulakan perlawanan dalam tekanan yang cukup tinggi, menyedari kekalahan boleh menyebabkan mereka tersingkir awal daripada kejohanan itu.

Anak buah Lionel Scaloni mempamerkan permainan kurang meyakinkan pada babak pertama selepas menamatkan saingan 0-0 sebelum rehat separuh masa.

Selepas Messi meledak jaringan menarik pada minit ke 64, ia memberi kelegaan buat seluruh pasukan itu.

Scaloni (kiri) memperkatakan sesuatu kepada Pablo Aimar. FOTO Agensi
Scaloni (kiri) memperkatakan sesuatu kepada Pablo Aimar. FOTO Agensi

Aimar, 43, adalah bekas rakan sepasukan Messi dalam skuad kebangsaan negara itu antara 2005 dan 2009.

Dia kini bertugas sebagai pembantu jurulatih kepada Scaloni.

Apabila Messi menjaringkan gol, Scaloni memberikan kata-kata semangat untuk pembantunya itu yang berada dalam keadaan bimbang.

Rata-rata peminat yang menyaksikan kejadian itu turut memberi maklum balas yang pelbagai.

Situasi bertambah baik buat Argentina apabila Enzo Fernandez bijak menambah jaringan kedua untuk memastikan mereka mendahului pada penghujung perlawanan.

Kemenangan 2-0 itu bermakna Argentina perlu mencatat kemenangan ke atas Poland pada aksi terakhir peringkat kumpulan mereka untuk membolehkan mereka berada di kedudukan teratas Kumpulan C sekalipun tewas kepada Arab Saudi pada perlawanan pembukaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 November 2022 @ 2:33 AM