GIROUD (kiri) bersama Regragui berlatih bersama ketika mewakili Grenoble. FOTO Agensi
GIROUD (kiri) bersama Regragui berlatih bersama ketika mewakili Grenoble. FOTO Agensi
Agensi

Doha: Perlawanan separuh akhir Piala Dunia 2022 membabitkan Perancis dan Maghribi awal pagi esok sudah pasti akan menyaksikan beberapa pemain beraksi bersama kelab yang sama akan bertemu sesama sendiri.

Antaranya ialah dua pemain Paris Saint Germain, Kylian Mbappe yang mewakili Perancis dan Achraf Hakimi pula bermain untuk Maghribi.

Bagaimanapun, terdapat dua lagi individu yang mengenali antara satu sama lain 15 tahun yang lalu akan bertemu semula iaitu penyerang Perancis, Olivier Giroud dan jurulatih Maghribi, Walid Regragui.

Ini kerana pada tahun 2007, Giroud yang ketika itu berusia 21 tahun pernah bermain bersama Regragui yang berumur 32 bagi mewakili kelab divisyen dua Perancis, Grenoble.

Namun begitu ia bukan mudah buat Giroud ketika bersama kelab itu apabila hanya tampil dalam 23 perlawanan dan berjaya menghasilkan dua gol sepanjang bersama kelab itu sebelum terpaksa meninggalkan Grenoble untuk bermain bersama Istres di divisyen ketiga bagi mendapatkan lebih banyak minit permainan.

Keputusan yang dibuat itu nyata berbaloi apabila dia menjaringkan 14 gol dalam 33 perlawanan sekali gus menarik minat kelab liga divisyen Tours untuk menandatangani pemain berkenaan.

Selepas bersama Tours, Giroud kemudiannya berpindah ke Montpellier sebelum menyertai Arsenal ketika berusia 26 tahun.

Bagi Regragui pula, selepas dua tahun di Grenoble, dia kembali ke Maghribi untuk menamatkan karier sebagai seorang pemain dengan mewakili Moghreb Tetouan sebelum berpindah ke bidang kejurulatihan.

Regragui bermula sebagai pembantu pasukan kebangsaan Maghribi sebelum mengambil alih pasukan kebangsaan pada penghujung Ogos yang lalu.

Kini selepas 15 tahun yang panjang, Regragui dan Giroud akan bertemu semula sebagai lawan bagi merebut tiket ke perlawanan akhir Piala Dunia Qatar 2022.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Disember 2022 @ 1:07 PM