ZHARMEIN Ashraf kini bergelar pemain Sang Kenari untuk saingan Liga M musim 2023. FOTO Ihsan KDA FC
ZHARMEIN Ashraf kini bergelar pemain Sang Kenari untuk saingan Liga M musim 2023. FOTO Ihsan KDA FC
Izzali Ismail


Alor Setar : Saingan Liga Malaysia (Liga M) bersama kelab baharu Kedah Darul Aman FC (KDA FC) menjadi medan terbaik untuk pemain muda Zharmein Ashraf Ismail bagi meningkatkan lagi bakatnya dalam arena bola sepak pada musim depan.

Dia adalah seorang lagi pemain sayap berbakat yang diumumkan Sang Kenari dengan kontrak selama setahun selepas menyenaraikan Faizal Talib dalam persiapan skuad kendalian Nafuzi Zain sebelum ini.

Menurut kenyataan rasmi semalam, bakat muda dari Sadong Jaya, Sarawak dan juga bekas pemain Sarawak United serta pernah bersama skuad bawah 23 tahun kebangsaan ini diyakini mampu menambah kekuatan buat Sang Kenari melalui pencapaiannya yang memenangi anugerah berprestij bawah umur sebelum ini.

"Mohammad Zharmien Ashraf menandatangani kontrak selama setahun bersama KDA FC dan kehadirannya akan mengisi barisan sayap pasukan Sang Kenari dan akan menyarung jersi nombor 79 untuk musim 2023.

"Dalam sesi menandatangani kontrak pemain, Zharmien mahu pamerkan aksi terbaik buat penyokong dan barisan kejurulatihan yang memberi kepercayaan kepadanya musim ini.

"Zharmien pernah disenaraikan sebagai penyerang skuad Piala Belia Kedah musim 2020 sebelum kembali musim ini bersama skuad utama Liga Super Sang Kenari.

"Zharmien yang dominan dengan kekuatan kaki kirinya pernah memenangi anugerah berprestij bawah umur iaitu sebagai Pemain Terbaik Kejohanan Zon Sarawak 2018, Pemain Terbaik Perlawanan Akhir dan Penjaring Terbanyak semasa Kejohanan Bola Sepak Remaja Allianz Zon Sarawak 2018," katanya.

Dalam perkembangan yang sama, Zharmein turut meluahkan rasa teruja untuk kembali ke Kedah dan berazam segera mencari keserasian dan persefahaman pada tahap yang terbaik bersama pasukan sebaik sah menandatangani kontrak bersama skuad KDA FC semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Disember 2022 @ 4:01 PM