AL-HAFIZ gembira kontraknya disambung untuk bersama KDA FC, musim depan. FOTO KDA FC
AL-HAFIZ gembira kontraknya disambung untuk bersama KDA FC, musim depan. FOTO KDA FC
Izzali Ismail


Alor Setar: Pemain sayap lincah Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Al-Hafiz Harun terharu dan bersyukur apabila berada dalam perancangan Ketua Jurulatih baharu, Nafuzi Zain bagi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Pemain berusia 21 tahun dari Sik itu berkata, faktor Nafuzi menjadi motivasi penting buat semua pemain yang akan bekerja keras bagi memastikan musim 2023 dan seterusnya mampu menjadi milik KDA FC.

"Saya bersyukur kerana diberi kepercayaan oleh Nafuzi berada dalam skuad Sang Kenari yang sedang dibentuk untuk menghadapi saingan musim depan.

"Kepercayaan ini akan saya galas dengan sebaik mungkin dan dalam tempoh pramusim iaitu dua bulan ini, saya akan gunakan untuk dapatkan keserasian dan persefahaman bersama ketua jurulatih, rakan tempatan dan import baharu.

"Saya bangga apabila Nafuzi nampak bakat saya serta pemain lain yang dipilihnya ke dalam pasukan dan sudah pasti mahu ambil peluang ini sebagai satu cabaran.

"Saya berharap dapat melakukan yang terbaik pada musim depan berbanding musim ini yang secara keseluruhannya kurang memuaskan," katanya.

Al-Hafiz berharap musim 2023 akan membuka lembaran baharu bersama Nafuzi untuk kembali bangkit menjadi pasukan disegani.

Al-Hafiz yang menyertai KDA FC pada musim 2022 antara empat pemain tempatan Sang Kenari selain Kamil Akmal, Heshamudin Ahmad dan Loqman Hakim yang disambungkan kontrak bagi menghadapi musim 2023.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Disember 2022 @ 5:26 PM