Azrin (kiri) dan Mior Dani (kanan) kini bersama skuad KDA FC. -FOTO KDA FC
Azrin (kiri) dan Mior Dani (kanan) kini bersama skuad KDA FC. -FOTO KDA FC
Oleh Izzali Ismail


Alor Setar: Kedah Darul Aman FC (KDA FC) meneruskan impian membentuk barisan pertahanan dan tengah lebih bertenaga apabila mengikat dua pemain muda Muhammad Azrin Afiq Rusmini dan Mior Dani Armin Mior Ariffen untuk menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2023.

Kemasukan mereka diumumkan media Sang Kenari semalam sekali gus memperlihatkan perancangan menarik daripada jurulatih Nafuzi Zain yang menggemari aksi lebih bertenaga daripada pemain muda.

"Azrin menandatangani kontrak pinjaman selama setahun dari Selangor FC untuk bersama KDA FC dan kehadiran pemain berasal dari Klang Selangor ini akan mengisi barisan pemain pertahanan pasukan Sang Kenari.

"Azrin pernah disenaraikan antara pemain skuad kebangsaan Bawah 23 tahun dalam saingan Piala Asia AFC baru-baru ini dan dia akan menyarung jersi nombor 31 untuk Sang Kenari pada musim 2023," katanya.

Azrin, 20, adalah bekas pelajar Sekolah Sukan Bukit Jalil sebelum mengembangkan bakatnya di Akademi Mokhtar Dahari (AMD) di Gambang dan mendapat tunjuk ajar daripada jurulatih Lim Teong Kim.

KDA FC juga turut mengikat pemain tengah Mior Dani yang berusia 23 tahun yang sebelum ini bersama skuad Kelantan FC dan beraksi bersama skuad Sri Pahang pada musim 2022.

"Mior Dani menandatangani kontrak pinjaman dari TRW Kelantan FC selama setahun bersama KDA FC dan dia akan mengisi barisan pemain tengah pasukan Sang Kenari," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Disember 2022 @ 1:38 PM