PEMAIN KDA FC gigih menjalani latihan baru-baru ini. FOTO KDA FC
PEMAIN KDA FC gigih menjalani latihan baru-baru ini. FOTO KDA FC
Izzali Ismail


Alor Setar: Kedah Darul Aman FC (KDA FC) meletakkan sasaran berada dalam kelompok empat pasukan teratas pada saingan Liga Super musim ini.

Sasaran itu dinyatakan pemilik Sang Kenari, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar seiring dengan skuad yang baharu dibentuk di bawah kendalian ketua jurulatih, Nafuzi Zain musim ini.

"Kita memiliki sasaran yang agak umum dan cuba membawa pasukan Kedah Darul Aman ke kelompok empat pasukan terbaik Liga Super musim ini dan itu merupakan harapan kita.

"Manakala untuk mendapatkan piala pada musim ini pula, ianya merupakan satu bonus buat pasukan, selain kita juga mahu cuba untuk melayakkan diri untuk ke saingan peringkat Asia pada tahun depan.

"Sang Kenari kini sedang berusaha membina era dan impian barunya pada musim ini melalui pelbagai pendekatan yang sedang dirancang pihak pengurusan pada musim ini," katanya.

Mohd Daud juga mengganggap semangat kerjasama dan persefahaman yang sedang dibentuk dalam pasukan merupakan asas penting dan memerlukan usaha bersama semua pihak bagi mengukuhkan 'keluarga baharu' buat Sang Kenari pada musim ini.

KDA FC menamatkan saingan Liga Super musim lalu di tangga kelapan Liga Super dengan 27 mata, mencatat lapan kemenangan, tiga seri dan 11 kekalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Februari 2023 @ 6:23 PM