PEMAIN Jepun meraikan kejayaan mengalahkan Sepanyol. FOTO AP
PEMAIN Jepun meraikan kejayaan mengalahkan Sepanyol. FOTO AP
Reuters

Doha: Jurulatih Jepun Hajime Moriyasu memuji ketabahan pemainnya selepas mengejutkan bekas juara Piala Dunia Sepanyol, untuk mengesahkan laluan ke pusingan 16 terakhir pada Khamis.

Blue Samurai akan bertemu Croatia pada pusingan 16 terakhir, tetapi Moriyasu melihat lebih daripada itu, selepas mereka turut menewaskan serta membantu menyingkirkan juara empat kali, Jerman.

Ini adalah kali keempat Jepun mara ke pusingan 16 terbaik tetapi mereka belum pernah mara melebihi peringkat itu.

"Daripada segi penamat, sasaran baharu kami ialah lapan terakhir. Pemain menunjukkan keupayaan yang mereka mampu bersaing di peringkat dunia.

"Saya ingin menetapkan rekod baharu dalam kelompok lapan terakhir atau lebih baik," kata Moriyasu.

Penyerang Alvaro Morata meletakkan Sepanyol di depan pada minit ke-12 apabila dia menanduk hantaran lintang Cesar Azpilicueta untuk gol ketiganya dalam tiga perlawanan Piala Dunia kali ini.

Namun seperti perlawanan menentang Jerman, Jepun bangkit selepas rehat dengan meledak dua gol menerusi Ritsu Doan dan Ao Tanaka pada minit ke-48 dan 51.

Gol kemenangan berkenaan menimbulkan kontroversi apabila bola hantaran Kaoru Mitoma dikatakan sudah keluar, namun Video Bantuan Pengadil (VAR) mengesahkan ia masih dalam permainan dan jaringan itu sah.

"Terima kasih kepada semua penyokong kami, rakyat Jepun, di atas sokongan mereka sehingga kami mampu mengharungi perlawanan sukar ini.

"Saya gembira dapat membawakan kemenangan ini kepada semua orang dan menghasilkan keputusan yang menggembirakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Disember 2022 @ 12:03 PM