Pemain Jepun, Ritsu Doan menjalani latihan bersama pasukannya. FOTO AFP
Pemain Jepun, Ritsu Doan menjalani latihan bersama pasukannya. FOTO AFP
AFP

Doha: Pemain Jepun, Ritsu Doan percaya kekuatan yang ada pada pemain simpanan skuad Samurai Biru itu terbukti penting tatkala mereka membuat persediaan berdepan finalis 2018, Croatia pada saingan 16 terakhir di Piala Dunia, esok.

Penyerang Freiburg itu memainkan peranan penting sebagai pemain simpanan di Qatar apabila menjaringkan gol penyamaan ketika kemenangan mengejut Jepun mengatasi Jerman dan Sepanyol seterusnya membantu wakil Asia itu melonjak ke kedudukan teratas Kumpulan E.

Doan hanya memerlukan empat minit untuk meledak jaringan selepas dimasukkan ketika menentang Jerman dan hanya dua minit selepas masuk pada babak pertama berdepan Sepanyol.

Dia percaya pilihan yang ada buat Jepun di bangku simpanan boleh membantu mereka mara lebih jauh ketika mereka mereka meletakkan sasaran untuk ke suku akhir buat kali pertama di Piala Dunia.

"Ia 11 lawan 11 tetapi sebagai pemain, kami bercakap mengenai kami bermain 26 orang menentang 11.

"Peraturan sudah berubah yang membenarkan lima pemain gantian dan saya rasa kami patutnya bersyukur. Kami ada pemain yang boleh menukar perlawanan." katanya.

Jurulatih Jepun, Hajime Moriyasu menerima pujian kerana penggunaan pemain simpanan dan perubahan taktikal di Qatar.

Tiga daripada empat gol Jepun pada Piala Dunia kali ini dijaringkan pemain yang masuk dari bangku simpanan dan pemain simpanan, Kaoru Mitoma juga membantu untuk jaringan keempat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Disember 2022 @ 2:22 AM