PEMAIN Jepun, Hirkoi Ito dilihat kecewa selepas tamat perlawanan. FOTO REUTERS
PEMAIN Jepun, Hirkoi Ito dilihat kecewa selepas tamat perlawanan. FOTO REUTERS
AFP

Doha: Jepun disifatkan sebagai pasukan pilihan untuk memenangi Piala Asia tetapi kekalahan mengejut kepada Iraq mendedahkan kelemahan skuad bimbingan Hajime Moriyasu.

Kekalahan 1-2 itu menyebabkan mereka berpotensi berdepan Korea Selatan pada pusingan 16 terakhir, dengan mengandaikan Jepun masih layak apabila turun pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan menentang Indonesia, Rabu ini.

Walaupun keputusan seri bertemu Indonesia akan menjamin kemaraan Jepun, tetapi selepas tumbang di tangan Iraq yang berada 46 tangga di bawah mereka, Jepun pastinya terdesak untuk mendapatkan kemenangan.

Barisan pemain Moriyasu bertemu Iraq selepas mencatat 10 kemenangan berturut-turut di mana mereka menjaringkan 43 gol sepanjang tempoh itu, termasuk kemenangan 4-1 di tempat lawan ke atas Jerman.

Di bawah bimbingan Moriyasu, yang mengendalikan pasukan itu sejak 2018, mereka menewaskan Sepanyol dan Jerman dalam laluan ke pusingan 16 terakhir dekat Piala Dunia Qatar lebih setahun lalu.

Tetapi di Doha, mereka ditewaskan oleh Iraq yang sering mencemaskan Jepun sepanjang perlawanan itu.

Bintang Liverpool, Wataru Endo menjaringkan gol pada masa kecederaan tetapi ia tidak memberi apa-apa makna kepada Jepun.

"Iraq berdepan Jepun dengan pasukan lengkap. Mereka bermain seperti di perlawanan akhir," tulis pengulas di Jepun, Sergio Echigo dalam akhbar harian Nikkan Sports.

"Mungkin Jepun fikir mereka adalah pasukan lebih baik kerana keputusan sebelum ini, atau mungkin mereka fikir hanya mengambil mudah perlawanan itu," tulisnya lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 January 2024 @ 7:36 PM