YAKIN harap Switzerland ulangi pencapaian 2018. FOTO EPA
YAKIN harap Switzerland ulangi pencapaian 2018. FOTO EPA
AFP

Doha: Jurulatih Switzerland, Murat Yakin mengenepikan kebimbangan apabila mereka menuju ke aksi terakhir peringkat kumpulan Piala Dunia menentang Serbia yang boleh menyaksikan berulangnya insiden buruk yang menjejaskan pertemuan mereka pada 2018.

Empat tahun lalu Switzerland berjaya mengatasi Serbia untuk mara ke 16 terakhir Piala Dunia hasil kemenangan 2-1 melalui jaringan Granit Xhaka dan Xherdan Shaqiri.

Kedua-dua Shaqiri dan Xhaka meraikan jaringan dengan melakukan simbol helang menggunakan tangan mereka bagi mewakili bendera Albania.

Mereka berdua mempunyai susur galur dari Kosovo, bekas wilayah Serbia yang mengisytiharkan kemerdekaan pada 2008 dan di mana ramai orang mengenali bendera Albania.

Bagaimanapun, Kosovo yang merdeka tidak diiktiraf oleh Belgrade dan Serbia sekali gus berasa marah dengan apa yang mereka lihat sebagai perayaan provokatif.

"Saya fikir kami akan bersedia dengan baik dan kami perlu mengumpul semua kekuatan untuk dapat menentang Serbia.

"Kami hanya perlu fokus kepada bola sepak, kedua-dua pasukan. Ia akan menjadi permainan yang menarik. Perkara lain saya benar-benar tidak peduli," kata Yakin selepas kekalahan 2-0 menentang Brazil di Doha Isnin lalu.

Kekalahan Switzerland dalam perlawanan kedua Kumpulan G menyebabkan mereka hanya mengumpul tiga mata selepas dua perlawanan, dua mata di depan kedua-dua Serbia dan Cameroon yang seri 3-3 dalam aksi mendebarkan awal pagi tadi, manakala Brazil yang meraih enam mata sudah melayakkan diri.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 November 2022 @ 11:30 AM