PEMAIN KL City, Declan Lambert (tengah) dikawal pemain PJ City pada perlawanan Liga Super antara PJ City menentang Kuala Lumpur City di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, 15 Oktober lalu. FOTO Asyraf Hamzah
PEMAIN KL City, Declan Lambert (tengah) dikawal pemain PJ City pada perlawanan Liga Super antara PJ City menentang Kuala Lumpur City di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, 15 Oktober lalu. FOTO Asyraf Hamzah
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Perjalanan Liga Super pada musim depan tidak akan lumpuh walaupun hanya terdapat 15 pasukan selepas Petaling Jaya City (PJ City) FC mengambil keputusan untuk berundur daripada meneruskan saingan 2023.

Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Stuart Ramalingam berkata, tiada perbezaan jika hanya tinggal 15 pasukan saja akan bertanding pada musim 2023 kerana ia hanya membabitkan operasi semata-mata.

"Tak ada masalah 15 atau 16 pasukan bertanding pada musim depan. Malah, setiap minggu perlawanan pasukan mempunyai tempoh berehat kelak.

"Ini bukan isu besar dalam melaksanakan perlawanan membabitkan hanya 15 pasukan kerana ia bukannya format liga namun hanya operasi," katanya.

Terdahulu Arena Metro melaporkan, saingan Liga Super 2023 boleh dikatakan hilang seri apabila pasukan 'buatan Malaysia' iaitu PJ City sah tidak akan bertanding pada musim depan.

Situasi terbabit disahkan presidennya, Datuk Seri Subahan Kamal sambil menjelaskan punca utama menarik diri bukanlah disebabkan masalah kewangan.

Namun, beliau berkata, keputusan yang cukup berat itu diambil adalah disebabkan tidak mampu menyesuaikan diri dengan penstrukturan liga musim depan yang diumumkan sebelum ini.

Selain itu, Stuart menjelaskan tiada kriteria yang ditetapkan oleh Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) yang menetapkan bahawa penganjuran liga domestik memerlukan sekurang-kurangnya 16 pasukan.

"Tiada kriteria yang ditetapkan oleh AFC sama ada perlu melaksanakan liga dengan jumlah pasukan genap atau ganjil," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 November 2022 @ 3:30 PM