Nafuzi Zain. FOTO File NSTP
Nafuzi Zain. FOTO File NSTP
Malik Muhamad


PEMANGKU ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain mengingatkan pemainnya agar tidak terlalu ghairah menyerang ketika menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam aksi suku akhir kedua Piala Malaysia, malam esok.

Sebaliknya bekas penyerang Terengganu itu mahu anak buahnya berwaspada dengan taktikal lawan dan perlu bijak bertahan selain fokus sepanjang 90 minit sehingga wisel penamat ditiupkan pengadil.

"Walaupun kita perlu menyerang untuk mencari sekurang-kurangnya dua gol untuk mengatasi JDT bagi membolehkan kita mara ke separuh akhir tetapi saya ingatkan pemain usah terlalu ghairah kerana ia boleh 'memakan' diri.

"Saya minta pemain sentiasa berwaspada di bahagian pertahanan bagi mengelak pintu gol dibolosi selain bermain secara bijak, yakin dan tanpa rasa takut walaupun beraksi di Stadium Tan Sri Datuk Hassan Yunos, Larkin.

"Pemain juga perlu mengikut perancangan dan taktikal disiplin yang diatur bagi membolehkan kita mendapat keputusan positif," kata Nafuzi ketika ditemui selepas sesi latihan di Kompleks Sukan Negeri Terengganu di Gong Badak, Kuala Terengganu.

Nafuzi berkata, TFC yang tewas 0-1 pada aksi pertama Sabtu lalu perlu mencari jaringan lebih awal bagi mengelak daripada tekanan selain menyuntik semangat mereka untuk beraksi dengan cemerlang.

"Pemain kami sudah bersedia untuk beraksi sehingga 120 minit serta penentuan sepakan penalti dalam perlawanan penting itu, malah tahap kecergasan mereka juga berada dalam keadaan terbaik.

"Mental pemain juga berada dalam keadaan baik, situasi ini sudah pasti melegakan kami kerana mereka tahu perlu bangkit di Larkin biarpun bukan mudah lebih-lebih lagi JDT hanya tewas sekali saja musim ini," ujar Nafuzi yang sudah mempunyai bayangan kesebelasan utama.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 September 2019 @ 12:14 PM