KOSTIC (kiri) berebut bola dengan pemain Inter, Nicolo Barella. FOTO Reuters
KOSTIC (kiri) berebut bola dengan pemain Inter, Nicolo Barella. FOTO Reuters
Reuters

Turin: Filip Kostic mengumpan untuk kedua-dua gol yang membolehkan Juventus menang 2-0 ke atas Inter Milan pada aksi Serie A, malam tadi, pada perlawanan menyaksikan kedua-dua pasukan berpeluang muncul pemenang.

Inter adalah pasukan lebih baik pada 45 minit pertama, tetapi kedudukan terikat tanpa jaringan sehingga rehat.

"Kami beraksi dengan cemerlang pada babak pertama, tetapi anda tidak boleh berehat dengan kedudukan 0-0 di stadium seperti ini berdasarkan prestasi terbaik dipamerkan," kata jurulatih Inter, Simone Inzaghi kepada DAZN.

Pemain Inter, Lautaro Martinez memilik peluang terbuka pada minit kelima, tetapi sepakan volinya sipi.

Peluang pertama pasukan tuan rumah hadir selepas 19 minit apabila Gleison Bremer melakukan voli hasil hantaran lintang Kostic, namun percubaannya tersasar.

Kostic kemudian mengumpan kepada Adrien Rabiot untuk gol pertama Juventus pada minit ke-52.

Kostic sekali lagi cemerlang apabila mengumpan kepada Nicolo Fagioli yang tidak dikawal dan dia menjaringkan gol kedua Juventus enam minit sebelum perlawanan tamat.

"Memang hebat dapat menyaksikan perlawanan seperti ini, terutama apabila kami agak bernasib baik pada babak pertama. Tetapi kami memiliki sikap proaktif dan bekerjasama sebagai satu pasukan untuk mendapat keputusan positif," kata jurulatih Juventus, Massimiliano Allegri kepada DAZN.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 November 2022 @ 9:08 AM