DZEKO meraikan jaringan kemenangan Inter di San Siro.
DZEKO meraikan jaringan kemenangan Inter di San Siro.
Reuters

Milan, Itali: Rekod kemenangan sebelas perlawanan berturut-turut Napoli dalam aksi Serie A lebur apabila jaringan Edin Dzeko pada babak kedua memastikan kemenangan 1-0 Inter Milan awal pagi tadi.

Selepas Napoli mendominasi perlawanan pada babak pertama yang berakhir tanpa jaringan, penyerang Inter, Dzeko memecah kebuntuan minit ke-56 apabila menanduk masuk hantaran Federico DiMarco.

"Menjadi pasukan pertama menewaskan Napoli yang juga pasukan tunggal dalam liga utama di Eropah yang belum tewas musim ini menaikkan semangat kami.

"Saya sangat bangga dengan pasukan saya kerana mereka membantu sesama sendiri di atas padang dan kami pamerkan prestasi mantap untuk penyokong," kata pengurus Inter, Simone Inzaghi kepada DAZN.

Napoli menduduki tangga teratas dengan 41 mata daripada 16 perlawanan. Mereka mendahului pasukan di tangga kedua AC Milan dengan lima mata manakala Inter di tangga keempat (33 mata).

Inter hampir di depan pada minit keempat apabila rembatan DiMarco sedikit tersasar selepas mendapat hantaran Romelu Lukaku.

Percubaan Lukaku turut tersasar selepas mendapat hantaran ke belakang daripada Nicolo Barella sejurus sebelum rehat.

"Perlawanan mempunyai detik berbeza. Menuju rehat kami lebih mengasak dan sepatutnya dapat tiga gol," kata Inzaghi.

Napoli mempunyai peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-90 apabila rembatan Giacomo Raspadori dalam kotak penalti diselamatkan penjaga gol, Andre Onana.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 January 2023 @ 8:21 AM