POLITANO meraikan jaringannya. FOTO AP
POLITANO meraikan jaringannya. FOTO AP
AFP

Milan: Napoli menyatakan keinginan mereka untuk merebut gelaran Serie A menerusi kemenangan 2-1 di AC Milan yang mengekalkan mereka sebagai pendahulu liga.

Manakala krisis melanda Juventus berterusan selepas mengalami kekalahan memalukan 0-1 di tangan Monza.

Penalti Matteo Politano 10 minit selepas bermula babak pertama dan tandukan Giovanni Simeone 12 minit sebelum tamat memberikan kemenangan buat Napoli di San Siro.

Ia berjaya dilakukan tanpa penyerang yang cedera, Victor Osimhen dan jurulatih yang digantung, Luciano Spalletti.

Napoli kini di kedudukan teratas menerusi perbezaan gol dengan Atalanta, yang menang 1-0 di Roma, dan satu mata di depan Udinese yang menewaskan Inter Milan 3-1.

Mereka juga tiga mata di depan juara bertahan, Milan yang jatuh ke tangga kelima selepas kekalahan pertama musim ini.

"Ia bukan hanya mengenai kualiti, ini ialah sebuah pasukan yang memiliki keazaman kuat dan sedia berkorban."

"Apa yang dimahukan pasukan ini ialah memberikan semuanya dan bertambah baik setiap hari," kata pemain gantian, Simeone kepada DAZN.

Gol pertama Simeone dalam Serie A buat Napoli menamatkan rentetan 22 perlawanan tanpa kalah buat Milan, yang menyamakan kedudukan pada minit ke-69 menerusi Olivier Giroud.

"Saya langsung tidak gembira sama seperti pemain saya. Kami hanya menjaringkan satu gol dan ia tidak mencukupi daripada apa yang kami cipta.

"Saya harap kami belajar untuk menjadi lebih tajam di depan gol kerana kami melakukan perkara betul kecuali kesilapan dua kali dalam kawasan penalti," kata jurulatih Milan, Stefano Pioli kepada DAZN.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 September 2022 @ 9:49 AM