Lampard (kiri) akui barisan serangannya tumpul selepas melepaskan beberapa peluang menjaringkan gol. FOTO
Lampard (kiri) akui barisan serangannya tumpul selepas melepaskan beberapa peluang menjaringkan gol. FOTO
AFP

HASRAT Chelsea untuk mengukuhkan kedudukan empat terbaik di Liga Perdana Inggeris (EPL) terganggu apabila hanya mencatat keputusan seri 2-2 dengan Arsenal yang beraksi dengan 10 pemain.

Chelsea yang menduduki tempat keempat dua kali mendahului Arsenal, selepas lawan mereka itu terpaksa beraksi dengan 10 pemain apabila David Luiz diperintah keluar padang kerana mengasasi Tammy Abraham.

Jorginho meletakkan Chelsea di depan menerusi sepakan penalti pada minit ke-28 namun Gabriel Martinelli menyamakan kedudukan pada separuh masa kedua.

Cesar Azpilicueta meletakkan Chelsea kembali di depan apabila menyumbat gol enam minit sebelum masa sebenar tamat namun Arsenal menyamakan kedudukan tiga minit kemudian melalui Hector Bellerin.

Seri 2-2 itu menyaksikan Chelsea hanya dibezakan enam mata dengan pasukan tempat kelima, Manchester United, manakala Arsenal di kedudukan ke-10.

Pengurus Chelsea, Frank Lampard mengakui sangat kecewa selepas pasukannya tidak begitu tajam di depan gol.

“Kami sepatutnya menjaringkan tiga atau empat gol hari ini. Kami melakukan banyak percubaan, hantaran lintang dan banyak sangat aksi yang berakhir dengan kurang bernasib baik. Kami harus lebin tajam,” katanya kepada BBC.

Sementara itu, pengurus Arsenal, Mikel Arteta memuji anak buahnya selepas berjaya mengikat Chelsea di laman sendiri.

“Mencatat keputusan seri dengan berdepan lawan di dalam stadium seperti ini nilainya sangat tinggi. Cara mereka melaluinya, dengan semangat yang mereka miliki, ia sangat menakjubkan ,” kata Arteta.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 January 2020 @ 8:16 AM