ROMEL Morales meluahkan keyakinan KL City FC pada sidang media pra perlawanan, hari ini. FOTO FB KL CITY FC
ROMEL Morales meluahkan keyakinan KL City FC pada sidang media pra perlawanan, hari ini. FOTO FB KL CITY FC
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Kuala Lumpur City (KL City) FC percaya mampu meraih tiga gol tanpa bolos dalam aksi terakhir Kumpulan H saingan Piala AFC menentang wakil kelab Singapura, Tampines Rovers di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur Cheras, malam esok.

Keyakinan itu disuarakan penyerang KL City FC, Romel Morales yang percaya skuad kendalian Bojan Hodak itu akan mampu melakar kemenangan dengan jumlah jaringan besar.

Katanya, bagi memastikan tiket ke pusingan berikutnya, skuad The City Boys harus meledak tiga gol tanpa bolos untuk menamatkan saingan di tangga pertama kumpulan, sekali gus menolak kelab Indonesia, PSM Makassar ke tangga kedua dan hanya juara kumpulan akan layak secara automatik ke separuh akhir Zon Asean.

Penyerang dari Colombia itu yakin bantuan rakan sepasukan akan memudahkan tugasnya untuk merobek gawang lawan, malam esok.

"Sebagai penyerang, saya perlu mengambil tekanan untuk menjaringkan gol, tetapi apabila anda mempunyai rakan seperti Paulo Josue, Zhafri Yahya, J Partiban, Kevin Koubemba dan lain-lain yang boleh memberi bantuan gol, anda hanya perlu tunggu di depan dan bersabar," katanya pada sidang media pra-perlawanan hari ini.

Dalam aksi pertama dengan PSM Makassar, Jumaat lalu, KL City FC dan juara Piala Indonesia pada 2019 lalu itu terikat tanpa jaringan sebelum PSM Makassar membenam Tampines 3-1 dalam aksi Isnin lalu.

Berikutan itu, KL City FC harus memastikan tiga mata dikutip dan wajib meledak tiga gol tanpa bolos untuk muncul juara kumpulan.

Berdasarkan format pertandingan, hanya juara dari tiga kumpulan akan layak diikuti satu naib juara terbaik untuk beraksi di separuh akhir Zon Asean.

Morales berkata, semua pemain sudah tahu tugas masing-masing pada perlawanan malam esok dan mahu menamatkan saingan sebagai juara kumpulan.

"Sudah tentu saya yakin kerana ini adalah perlawanan penting buat kelab dan kami suka bila berdepan tekanan seperti ini.

"Kami sudah buktikan musim lalu dan boleh mendapatkan keputusan baik apabila berada dalam tekanan seperti di final Piala Malaysia," katanya.

KL City FC meraih slot Piala AFC selepas muncul juara Piala Malaysia musim lalu dengan menundukkan Johor Darul Ta'zim (JDT) dengan 2-0 di final di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Jun 2022 @ 4:54 PM