HODAK ketika sesi latihan KL City di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras.  FOTO Eizairi Shamsudin
HODAK ketika sesi latihan KL City di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras. FOTO Eizairi Shamsudin
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Berkemahiran tinggi dan pantas adalah elemen kekuatan kelab Oman, Al Seeb menjelang aksi final Piala AFC di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu ini, dengan pemain Kuala Lumpur City FC (KL City) perlu berhati-hati dalam aksi itu nanti.

Ia antara analisis sudah dikaji pengendali KL City, Bojan Hodak yang meletakkan juara Liga Oman itu sebagai pasukan pilihan yang dibantu dengan enam pemain kebangsaan negara Asia Barat itu, berbanding anak buahnya sebagai underdog.

Katanya, KL City akan menempuh satu lagi halangan besar dan mengakui lawan lebih ampuh daripada dua pasukan yang ditemui ketika bertemu Sogdiana Jizzakh dari Uzbekistan di final Antara Zon serta kelab India, ATK Mohun Bagan di separuh akhir Antara Zon sebelum ini.

"Bagi saya Al Seeb dan Sogdiana lebih baik daripada Mohan Bagan, tetapi yang membezakan Sogdiana adalah mereka memberi tekanan cukup tinggi untuk menghalang pihak lawan bermain.

"Manakala ia berbeza dengan pemain Al Seeb yang memiliki keupayaan teknik individu yang baik terutama dalam situasi satu lawan satu, di mana mereka mempunyai skil baik dan pantas.

"Situasi inilah yang merbahaya dan tidak boleh beri ruang dalam situasi itu ketika bertahan," katanya ketika ditemui pada sesi latihan pasukan di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, hari ini.

Skuad The Citys Boys dalam laluan melakar sejarah unik muncul juara Piala AFC dalam penampilan sulung mereka di saingan kedua tertinggi kelab-kelab Asia itu selepas Liga Juara-Juara Asia (ACL).

Jika menang, KL City akan mengikut jejak Johor Darul Ta'zim (JDT) yang menjadi kelab pertama dari Malaysia dan rantau Asia Tenggara memenangi trofi itu pada 2015 lalu.

"Mereka adalah pasukan pilihan di mana mereka ada enam pemain kebangsaan (skuad kebangsaan Oman), kebanyakan pemain mereka beraksi di Jepun ketika menang ke atas negara itu (Oman menang 1-0 ke atas Jepun) dalam kelayakan Piala Dunia tahun lalu.

"Jadi sudah tentu mereka akan tampil sebagai pilihan dengan pasukan negara mereka di tangga ke-75 dunia sementara kita pula 146," kata jurulatih kelahiran Croatia itu.

Ujarnya lagi, pemain KL City tidak tertekan sebaliknya cukup bermotivasi.

"Tetapi yang bagusnya di pihak kita adalah kita akan turun tanpa tekanan, walaupun kita bermain di tempat sendiri di Bukit Jalil biarpun tidak biasa bermain di situ, tetapi kita akan cuba berikan sepenuhnya dan cuba meraih keputusan positif di mana dalam aksi final masing-masing mahu berikan terbaik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Oktober 2022 @ 6:38 PM