JURULATIH KL City FC, Bojan Hodak pada sidang media praperlawanan akhir Piala AFC 2022 Zon Asean, hari ini. FOTO AZHAR RAMLI
JURULATIH KL City FC, Bojan Hodak pada sidang media praperlawanan akhir Piala AFC 2022 Zon Asean, hari ini. FOTO AZHAR RAMLI
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Dahi pengendali Kuala Lumpur City FC (KL City), Bojan Hodak pastinya berkerut memikirkan strategi terbaik apabila menentang PSM Makassar dalam aksi final Piala AFC Zon Asean di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, malam esok.

Menurut Hodak, beliau terpaksa memilih sama ada untuk menurunkan penjaga gol import, Kevin Ray Mendoza atau dua ayam tambatan luar iaitu Romel Morales dan Jordan Mintah untuk mengetuai jentera hadapan pasukan.

Katanya, beliau perlu membuat pilihan terbaik bagi mengisi kouta import dalam aksi itu kerana baginya kedua-dua bahagian itu cukup penting.

"Saya belum putuskan adakah penjaga gol Kevin Ray Mendoza akan bermain atau meletakkan dua penyerang (dua import). Ini masalah yang saya lalui untuk putuskan siapa perlu bermain.

"Situasi itu pastinya berbeza dengan PSM Makassar yang dilihat pada prestasi terbaik dan aksi ini tidak sama seperti sebelum ini," katanya pada sidang media praperlawanan, hari ini.

Skuad The Boys melakar sejarah tersendiri apabila buat pertama kali mara sehingga ke pentas final Piala AFC Zon Asean selepas menewaskan kelab Vietnam, Viettel FC di separuh akhir.

Jika anak buah Hodak berjaya menundukkan PSM Makassar, juara Piala Malaysia musim lalu itu akan menempah tiket ke separuh akhir Piala AFC Antara Zon untuk berdepan kelab India, Mohun Bagan.

Hodak berkata, beliau mahu pemain memburu kemenangan dan tidak mensia-siakan peluang melangkah lebih jauh dalam kempen itu.

"Kami pernah berjumpa mereka (PSM Makassar) sebelum ini dan saya amat mengenali pemain mereka hampir 90 peratus.

"Tetapi ia akan jadi aksi yang sukar kerana kedua-dua pasukan mahu mencapai kemenangan dan taktikal permainan harus tepat walaupun penyokong mungkin tidak menyukainya.

"Sudah pasti, kemenangan menjadi keutamaan kerana tiada siapa akan ingat pasukan mana beraksi di final, tetapi hanya akan ingat pemenang sahaja," katanya.

Kedua-dua pasukan pernah bertemu dalam peringkat Kumpulan H yang berkesudahan seri tanpa jaringan, sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Ogos 2022 @ 3:54 PM