Agensi

Paris: Karim Benzema berikrar untuk menamatkan kariernya di Real Madrid selepas memenangi Ballon d'Or 2022.

Penyerang itu meraih pengiktirafan berkenaan atas usahanya membantu Real memenangi La Liga dan Liga Juara-Juara dengan bintang Perancis itu menjaringkan 44 gol pada musim lalu.

Pada usia 34 tahun, dia adalah pemenang anugerah tertua dalam tempoh 66 tahun dan Benzema tidak bercadang untuk bersara dalam masa terdekat.

Benzema berkata dia gembira di Real dan apabila tiba masanya, dia akan memutuskan untuk bersara di kelab itu berbanding berhijrah ke kelab lain.

BENZEMA bersama anugerah Ballon d'Or yang dimenanginya. FOTO Reuters
BENZEMA bersama anugerah Ballon d'Or yang dimenanginya. FOTO Reuters

Benzema berkata: "Saya akan bersara di Real Madrid. Tiada pilihan lain untuk saya.

"Saya mempunyai kontrak dengan Real Madrid. Saya berasa amat bagus ketika ini. Selepas itu? Saya tidak tahu, kerana saya perlu memikirnya pada setiap tahun.

"Jika saya rasa masih cergas, saya akan teruskan karier dalam bola sepak, dan jika sebaliknya, sama-sama kita lihat nanti. Tetapi sekarang saya mempunyai kontrak dua tahun dengan Real Madrid."

Sering menerima kritikan, Benzema sudah menjaringkan 328 gol untuk Los Blancos sejak menandatangani kontrak sekitar £35 juta (RM187.4 juta) pada 2009.

Sebelum musim lalu, dia adalah pemain yang dipandang rendah dalam pasukan yang memenangi tiga gelaran La Liga dan empat trofi Liga Juara-Juara.

Dia sering menjadi pilihan kedua di belakang Cristiano Ronaldo yang dibeli Real pada tahun yang sama dari Manchester United.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Oktober 2022 @ 9:52 AM