HASHIM Mustapha yang menjalani pembedahan memotong kaki kirinya akibat jangkitan kuman kini dilaporkan semakin baik. FOTO Ihsan Pembaca
HASHIM Mustapha yang menjalani pembedahan memotong kaki kirinya akibat jangkitan kuman kini dilaporkan semakin baik. FOTO Ihsan Pembaca
Nor Amalina Alias


Kota Bharu: Legenda bola sepak Kelantan, Mohd Hashim Mustapha yang menjalani pembedahan memotong kaki kiri dilaporkan semakin baik.

Keadaan Hashim dimaklumkan menantunya, Nizad Ayub yang juga bekas pemain Kelantan United Football Club (KUFC).

Nizad berkata, bapa mertuanya kini masih berada di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) Kota Bharu selepas menjalani pembedahan pada Rabu.

"Bapa mertua dah boleh bercakap cuma masih lemah, diapun dah boleh makan, buah-buahan.

"Cuma setakat ini ahli keluarga dulu melawat beliau, bagi ruang untuk dia berehat," katanya ketika dihubungi.

Hashim yang juga bekas pemain kebangsaan era 90an ditemani isteri, Zaheran Hussein, 52 selepas pembedahan memotong kaki kiri daripada lutut ke bawah dijalani beliau kerana saluran darah tersumbat akibat jangkitan kuman.

Nizad berkata, keluarga memohon orang ramai mendoakan kesembuhan bapa mertuanya.

Untuk rekod, Hashim memulakan karier sebagai pemain bola sepak seawal usia 18 tahun dalam pasukan utama Kelantan.

Penjaring terbanyak liga Malaysia tahun 1993 itu menjalani pembedahan selepas keadaan kaki kirinya semakin serius akibat luka terjatuh motosikal pada Mac lalu.

Bagi mengelakkan kemudaratan selain mempunyai penyakit kencing manis, kaki kiri Hashim yang juga ketua jurulatih pasukan Tok Janggut Warriors FC itu terpaksa dipotong.

Keadaan Hashim turut mendapat perhatian rakan-rakan dan pemain bola sepak Kelantan, antaranya bekas Kapten Kelantan FC, Badrul Radzi atau Piya dan peminat sukan bola sepak tanah air yang mendoakan kesembuhan Hashim yang pernah memenangi dua Anugerah Kasut Emas pada tahun 1993 dan 1994.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Oktober 2022 @ 10:35 AM