HASHIM ketika dikunjungi Pengerusi Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb), Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed pada 9 November lalu.
HASHIM ketika dikunjungi Pengerusi Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb), Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed pada 9 November lalu.
Siti Rohana Idris

Kota Bharu: Bekas pemain bola sepak kebangsaan dan Kelantan era 90-an, Mohd Hashim Mustapha dimasukkan ke hospital dan kini dilaporkan dalam keadaan kritikal.

Hashim yang kini berada di zon merah Hospital Universiti Sains Malaysia (Hospital USM), Kubang Kerian terpaksa ditidurkan berikutan keadaan jantung yang semakin tidak stabil.

Isterinya, Zaheran Hussien, 52, berkata, suaminya dimasukkan ke hospital tengah hari semalam kerana keadaannya yang lemah disebabkan demam sejak beberapa hari lalu serta tiada selera makan.

"Sebelum itu kami sudah membuat pemeriksaan tekanan darah di rumah dan bacaannya sangat rendah dan kami bergegas membawanya ke hospital.

"Suami dirawat di Zon Merah dan jam 5 pagi tadi. Dia terpaksa ditidurkan kerana tekanan darah semakin rendah dan jantungnya juga menjadi laju. Malah ubat yang diberikan juga tidak berupaya menjadikan keadaannya stabil," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Zaheran berkata, dia tidak menolak kemungkinan keadaan itu disebabkan jangkitan kuman daripada luka kaki kanannya yang cedera disebabkan insiden jatuh motor sebelum bulan lalu.

Hashim yang juga menghidap penyakit kencing manis sudah menjalani pembedahan memotong kaki kiri pada 27 Oktober lalu.

Zaheran berkata, buat masa ini, doktor memberitahu pihaknya sudah melakukan yang terbaik dan meminta agar semua yang mengenali suaminya mendoakan yang terbaik.

"Keadaannya semakin lemah dan saya harap semua yang mengenali suami, doakan yang terbaik dan semoga ada keajaiban buatnya," katanya.

Untuk rekod, Hashim pernah dinobatkan penjaring terbanyak dan memenangi anugerah kasut emas pada era 90-an dalam saingan Liga Malaysia selain turut mewakili negara pada era itu.

Penyerang kelahiran Kota Bharu itu, dilantik sebagai penolong jurulatih pasukan Kelantan pada 2010 sehingga 2012. Beliau kali terakhir menjadi ketua jurulatih pasukan Tok Janggut Warriors FC yang beraksi dalam Liga M3.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 November 2022 @ 2:07 PM