PEMAIN import dari Jordan, Mahmoud Al-Mardi akan kembali memperkuatkan pasukan KDA FC apabila menentang JDT, malam esok. FOTO FB KDA FC
PEMAIN import dari Jordan, Mahmoud Al-Mardi akan kembali memperkuatkan pasukan KDA FC apabila menentang JDT, malam esok. FOTO FB KDA FC
Izzali Ismail


Alor Setar: Ketua jurulatih Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Aidil Sharin Sahak meminta pemainnya bangkit daripada aksi mengecewakan selepas tewas 0-1 kepada PJ City FC dalam saingan Liga Super, Sabtu lalu.

Walaupun sukar disebabkan hanya memiliki dua hari untuk melakukan perubahan, pengendali KDA FC itu yakin pemainnya tetap memiliki tekad tinggi untuk berdepan juara Liga Super 2022 Johor Darul Ta'zim (JDT) di laman sendiri, malam esok.

"Saya yakin pemain akan mengambil iktibar sebaiknya daripada tahap permainan lalu yang tidak menjadi dan mereka mahu bangkit daripada kekalahan pada Sabtu lalu.

"Misi kali ini akan berbeza kerana lawan kami adalah pasukan terbaik Liga Malaysia dan walaupun sukar, kami tetap menaruh keyakinan tinggi bermain di depan penyokong sendiri.

"Kembalinya dua pemain utama iaitu pemain tengah, Mahmoud Al-Mardi dan penjaga gol, Shahril Sa'ari yang tamat penggantungan kad kuning bersama pasukan kali ini, diyakini akan membantu menambahkan lagi kekuatan pasukan," katanya.

Aidil berharap setiap pemain dapat memastikan tahap disiplin serta fokus utama sepanjang perlawanan itu akan meningkat ke tahap terbaik dan tidak mudah goyah.

Katanya, pemain sudah tahu kelemahan pada perlawanan lalu dan bagi misi malam esok, mereka tidak boleh mengulangi kesilapan serta kealpaan sama.

KDA FC yang mengumpul 27 mata daripada 18 perlawanan kini menduduki tempat keenam liga.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Oktober 2022 @ 1:21 PM