SHAHREL Fikri mahu tawan hati Pan-gon. FOTO AIZUDDIN SAAD
SHAHREL Fikri mahu tawan hati Pan-gon. FOTO AIZUDDIN SAAD
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Bekas penyerang kebangsaan, Shahrel Fikri Md Fauzi mahu cuba mengetuk pintu skuad Harimau Malaya yang kini dibimbing Kim Pan-gon.

Menyedari peluang itu ada, dia mahu menggunakan sebaiknya kesempatan berlatih di bawah jurulatih baharu Selangor, Tan Cheng Hoe dengan mencari semula sentuhan penyudah selain mengumpul minit permainan bersama Red Giants.

Katanya, keutamaan ketika ini adalah mendapatkan dulu kepercayaan Cheng Hoe dan cuba mengekalkan konsistensi dalam pasukan.

"Jika saya mendapat minit permainan yang cukup pada baki saingan musim ini, perkara tersebut (menyarung jersi negara) tidak mustahil dan sasaran saya ketika ini adalah untuk kekal konsisten," katanya ketika ditemui di Pusat Latihan Selangor FC di Shah Alam.

Shahrel, 27, yang juga bekas penyerang kelab Thailand, Nakhon Ratchasima pada 2018 lalu pernah dilabel antara penyerang terbaik negara susulan kejayaan meraih Anugerah Penyerang Terbaik Liga Malaysia dalam Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) 2020 lalu.

Sepanjang enam tahun bergelar pemain profesional, Shahrel sudah merekod sekurang-kurangnya 43 gol bersama kelab yang pernah disertainya termasuk PKNP FC, Perak, Nakhon Ratchasima dan Selangor.

Untuk skuad kebangsaan, penyerang itu sudah meledak lima gol dalam 14 penampilannya bersama Harimau Malaya sejak 2017 hingga 2019.Dia yang pernah bekerjasama dengan Cheng Hoe dalam skuad negara sebelum ini, mengakui gembira dan menganggap kehadiran jurulatih itu tepat pada masanya.

"Saya percaya apabila kehadiran jurulatih baharu, peluang untuk semua pemain untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama agak terbuka dan pastinya semua mahu memberikan seratus peratus di atas padang.

"Secara jujur, saya pernah berada di bawah bimbingannya dalam skuad kebangsaan sebelum ini dan dia seorang jurulatih yang fokuskan aspek taktikal khususnya penguasaan bola.

"Justeru, saya percaya pasukan tidak akan menunggu lama untuk menyesuaikan diri dan kembali mendapatkan keputusan positif selepas ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Oktober 2022 @ 1:43 PM