SHAHREL Fikri (tengah) sah sertai Selangor. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
SHAHREL Fikri (tengah) sah sertai Selangor. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Penyerang prolifik baharu Selangor, Muhammad Shahrel Fikri sudah sedia untuk membuka lembaran baru bersama skuad Red Giant musim depan.

Shahrel, 26, atau lebih mesra dipanggil Eky, mengikat kontrak selama dua tahun dengan dia diberi penghormatan menyarung jersi bernombor 10 yang sinonim dengan legenda Selangor, Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari.

Ketajaman Shahrel di depan gol sememangnya tidak boleh disangkal lagi dan ia dibuktikan apabila dia muncul peledak terbaik tempatan dengan meledak 10 gol dalam 10 aksi bersama Perak musim ini.

Malah, dia hampir memenangi anugerah Kasut Emas Liga Malaysia (Liga-M) musim ini sebelum terpaksa akur dengan penyerang import yang juga rakan gandingan baharunya di Selangor, Ifedayo Olusegun yang dinobatkan penjaring terbanyak.

Jelasnya, dia teruja untuk menyertai Selangor dan berharap penyokong setia Merah Kuning memberi sokongan kepadanya dan pasukan.

"Menyertai Selangor akan membuka lembaran baharu dalam karier saya dan saya tidak sabar untuk memulakan perjalanan baharu bersama pasukan Gergasi Merah.

"Saya juga ingin berterima kasih kepada pengurusan Selangor FC atas ruang dan peluang yang diberikan. Saya harap penyokong Selangor akan mengalu-alukan kedatangan saya ke Shah Alam," katanya.

Sementara itu, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada bekas pasukan, Perak yang banyak memberi peluang dan sentiasa menyokong kariernya sejak bersama skuad belia Perak.

"Saya mengumpulkan beberapa kenangan yang menakjubkan. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada anda semua kerana menyambut baik saya di Perak sejak awal dan terus memberi kepercayaan dan dorongan untuk mencapai apa yang saya capai sekarang," katanya yang pernah beraksi di Liga Thailand bersama Nakhon Ratchasima pada 2018 lalu secara pinjaman.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Disember 2020 @ 7:04 PM