HAALAND hebat disebabkan staf perubatan City. FOTO Agensi
HAALAND hebat disebabkan staf perubatan City. FOTO Agensi
AFP

London: Pep Guardiola berkata staf perubatan Manchester City adalah rahsia di sebalik permulaan cemerlang Erling Haaland bersama juara Liga Perdana Inggeris (EPL) itu.

Haaland berjaya meledak 14 gol dalam sembilan penampilan untuk semua kejohanan sejak menyertai City dari Borussia Dortmund.

Walaupun pemain berusia 22 tahun itu sama prolifik di Dortmund, dia sering bergelut disebabkan masalah kecederaan.

Menyedari isu kecergasan itu, bos City, Guardiola menjadikan keutamaan untuk memastikan staf perubatannya sentiasa memastikan Haaland cergas dan bertenaga.

Setakat ini penyerang antarabangsa itu diletakkan dalam kesebelasan utama bagi setiap perlawanan.

"Semua orang adalah sangat penting namun saya selalu berkata kepada kelab, bahagian paling penting adalah ahli fisioterapi. Mereka yang jaga kaki semua pemain.

"Erling sangat bergelut di Dortmund musim lalu akibat masalah kecederaan dan tiba di sini dengan sedikit masalah selepas pembedahan kecil pada pertengahan tahun.

"Dia mula bekerjasama dengan ahli fisioterapi di sini, Mario (Pafundi) dan yang lain-lain. Terima kasih kepada mereka. Sudah tentu etika bekerja membolehkan, dia beraksi secara tetap sekarang. Musim lalu agak sukar.

"Apabila pemain boleh beraksi secara kerap, kita perlu berterima kasih kepada ahli fisioterapi," katanya.

Peranan Pafundi sangat penting buat Guardiola, apabila beliau turut bersama-sama Haaland dalam tempoh dua minggu untuk tugasan perlawanan antarabangsa di Norway.

"Ia tidak pelik. Kejohanan seperti Piala Dunia dan Euro, ramai ahli fisioterapi akan mengikut pemain dan Mario adalah individu yang hebat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Oktober 2022 @ 1:35 PM