VINICIUS mendapat sokongan daripada legenda bola sepak Brazil. FOTO AFP
VINICIUS mendapat sokongan daripada legenda bola sepak Brazil. FOTO AFP
AFP

Sao Paulo: Pele, Neymar dan beberapa nama besar lain dalam bola sepak Brazil menyuarakan kemarahan atas komen ejen Sepanyol yang dikatakan berbaur perkauman terhadap bintang Brazil dan Real Madrid, Vinicius Junior.

Ejen berkenaan meminta Vinicius agar berhenti daripada 'bertindak seperti monyet'.

Pedro Bravo, ketua Persatuan Ejen Bola Sepak Sepanyol (AEAF), membuat komen mengenai 'Chiringuito Show' di salah satu program bola sepak di televisyen terkemuka Sepanyol.

Beliau memberitahu pemain berusia 22 tahun itu untuk berhenti meraikan golnya dengan gerakan tarian yang menjadi identitinya.

Kenyataan itu mencetus kemarahan di Brazil, di mana pemain kulit hitam dihina dengan ejekan perkauman oleh peminat yang meniru monyet.

"Bola sepak adalah sesuatu yang menyeronokkan. Ia adalah tarian. Malangnya, perkauman masih wujud, kami tidak akan membenarkan perkara itu menghalang kami daripada terus tersenyum.

"Dan kami akan terus memerangi perkauman setiap hari dengan cara ini, memperjuangkan hak kami untuk bahagia dan dihormati," tulis legenda Brazil, Pele di Instagram.

Penyerang Paris Saint-Germain, Neymar menulis tweet BAILA VINI JR - bahasa Portugis untuk 'menari' - menggunakan tanda pagar, #BailaViniJr, yang juga topik paling sensasi di Twitter di Brazil.

Sementara itu, Konfederasi Bola Sepak Brazil (CBC) menyatakan 'solidariti' dengan pemain itu dalam satu kenyataan, mengecam kenyataan perkauman.

Real Madrid berkata ia menolak 'semua bentuk ucapan perkauman dan xenofobia' dan akan mengambil tindakan undang-undang.

Bravo meminta maaf di Twitter, dengan mengatakan bahawa beliau 'menggunakan ungkapan itu dengan teruk... dalam cara metafora yang bermaksud mengarut'.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 September 2022 @ 11:51 AM