VINICIUS (dua dari kiri) diejek ketika dikeluarkan. FOTO AFP
VINICIUS (dua dari kiri) diejek ketika dikeluarkan. FOTO AFP
AFP

Barcelona: Barcelona berkata mereka akan menyiasat dakwaan serangan perkauman terhadap Vinicius Junior dalam kekalahan 1-2 aksi Clasico kepada Real Madrid.

Sebuah video yang diterbitkan oleh media Sepanyol kelihatan menunjukkan penyokong tuan rumah menggelar pemain sayap Brazil itu sebagai 'monyet', manakala objek yang kelihatan seperti kulit pisang juga kelihatan dicampak.

"FC Barcelona akan sentiasa mempertahankan nilai bola sepak dan sukan seperti menghormati pihak lawan dan kami akan menyiasat sebarang penghinaan perkauman yang mungkin berlaku petang ini semasa perlawanan menentang Real Madrid," kata kelab Catalan itu di X.

Vinicius, yang diejek oleh peminat di Stadium Olimpik, ​membuat penyokong tuan rumah kecewa apabila dia digantikan pada lewat permainan selepas Jude Bellingham menjaringkan gol keduanya pada masa kecederaan untuk membolehkan Real mencatat kemenangan.

Pemain berusia 23 tahun itu berjalan perlahan-lahan, menoleh ke tempat penonton untuk meraikannya, dengan jurulatih Madrid, Carlo Ancelotti menarik tangannya keluar dari padang.

"Dia keluar dengan sangat tenang, saya beritahu dia perlu keluar lebih cepat... Saya bantu dia keluar," kata jurulatih kelahiran Itali itu.

Vinicius turut berbalas kata-kata dengan Xavi semasa perlawanan mengenai cabaran terhadapnya oleh pemain pertahanan Barcelona, Ronald Araujo.

"Saya sangat menghormati Vinicius, saya memberitahunya ia bukan satu kesalahan," kata Xavi.

Vinicius juga mendapat serangan secara perkauman Sabtu lalu ketika Madrid seri di Sevilla, dengan seorang peminat dihalau.

Pemain sayap itu turut menunjukkan satu lagi video seorang kanak-kanak yang tampil membuat isyarat perkauman kepadanya dalam perlawanan yang sama.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Oktober 2023 @ 11:39 AM