PEMAIN  TFC, Habib Haroon dihalang pemain JDT. FOTO Asyraf Hamzah
PEMAIN TFC, Habib Haroon dihalang pemain JDT. FOTO Asyraf Hamzah
Zaid Salim


Kuala Terengganu: Kecewa namun bangga dengan semangat juang yang dipamerkan pemain. Itu pandangan diberikan penyokong Terengganu FC (TFC) yang membanjiri Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah (SSINS), di sini, bagi menyaksikan final Piala FA yang menyaksikan skuad Penyu tewas kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) dengan jaringan 1-3, malam ini.

Biarpun gagal membawa pulang Piala FA ke bumi Terengganu, penyokong tetap berpuas hati dengan semangat juang ditunjukkan pemain untuk mencipta kemenangan.

Ahmad Farizal Musa, 19, berkata, dia mengakui pasukan JDT sebuah pasukan yang mantap di semua posisi.

"Semua tahu JDT sebuah pasukan yang mantap dan dibarisi pemain berkualiti. Untuk mencipta kemenangan memang sukar namun tidak mustahil berlaku kerana bola itu bulat.

"Saya anggapkan malam ini tiada rezeki buat Terengganu kerana beberapa peluang yang sepatutnya disudahkan dengan jaringan gagal dimanfaatkan pemain," katanya ditemui selepas perlawanan.

Abdul Halim Jusoh, 46, turut mengakui kecewa kerana gagal menjulang piala sekaligus gagal mengulangi kejayaan muncul juara pada 2011.

Namun dalam masa sama, beliau tidak menolak mutu permainan Terengganu yang dikatakan tidak sama ketika menentang lawan dalam saingan Liga Super.

"Saya lihat ada beberapa kelonggaran di beberapa posisi terutama ketika jaringan pertama JDT apabila Ariff Aiman dilihat mudah melepasi benteng pertahanan sebelum melakukan rembatan di hadapan gol tanpa ada halangan daripada pemain Terengganu.

"Beberapa peluang yang diperolehi Terengganu juga gagal disudahkan dengan baik, namun usaha dan kerja keras pemain sehingga berjaya menjaringkan satu gol membuktikan semangat juang anak buah Nafuzi Zain tidak pernah padam untuk memburu gol," katanya.

Menurutnya, tewas pada saingan akhir Piala FA tidak bermakna tiada peluang untuk Terengganu mencipta kejayaan.

Katanya, pemain Terengganu perlu lupakan kekalahan itu dan bangkit untuk memburu satu lagi piala iaitu Piala Malaysia.

"Saya percaya Terengganu mampu melakukannya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 September 2022 @ 12:20 AM