GONZALO diasak pemain Kuala Lumpur ketika perlawanan di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin. FOTO Mohd Azren Jamaludin
GONZALO diasak pemain Kuala Lumpur ketika perlawanan di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin. FOTO Mohd Azren Jamaludin
Rizar Mohd Noor


JOHOR BAHRU: Johor Darul Ta’zim (JDT) melakar kemenangan kedua berturut-turut apabila tidak berdepan masalah untuk menjinakkan Kuala Lumpur 4-1 pada aksi Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam tadi.

Tanpa kelibat Natxo Insa yang mengalami kecederaan ketika menentang Perak, pengendali JDT, Luciano Figueroa melakukan rombakan kecil dengan menyenaraikan Afiq Fazail dalam kesebelasan utama sambil mengekalkan barisan sama ketika menewaskan skuad Mehmet Durakovic 1-0 dalam aksi Piala Sumbangsih, Sabtu lalu.

Kelebihan beraksi di laman sendiri itu dimanfaatkan sepenuhnya skuad Harimau Selatan untuk mengasak ke kubu skuad The City Boys menerusi beberapa gerakan berbahaya yang mengundang cemas penjaga gol, Sharbinee Allawee Ramli.

Namun pelawat hampir membuka jaringan pada minit ke-31 selepas Sylvano Comvales bijak melepasi perangkap ofsaid tuan rumah tetapi percubaan pemain itu sekadar melepasi palang gol ketika penjaga gol, Farizal Marlias sudah tertewas.

Peluang terbaik tuan rumah mencipta jaringan gagal disempurnakan Syafiq Ahmad meskipun berjaya melepasi kawalan benteng pelawat namun bola rembatan dari luar kotak penalti pada minit ke-36 hanya sipi daripada gawang gol.

Ketika aksi memasuki minit kecederaan pada babak pertama, pengadil perlawanan Wan Mohamad Tarmizi Wan Ibrahim tidak teragak-agak menghadiahkan sepakan penalti selepas Hisyamudin Sha’ri mengasari Safawi Rasid di dalam kotak.

Gonzalo Cabrera yang ditugaskan mengambil sepakan penalti itu merembat kencang tepat ke penjuru kanan menewaskan Sharbinee bagi memastikan JDT mendahului 1-0 sebelum melangkah masuk ke bilik persalinan.

Bersambung babak kedua, tuan rumah hampir menambah jaringan pada minit ke-50 selepas bola umpanan Aaron Niguez gagal disudahkan Safawi yang cuba melencongkan bola namun gagal menerjah gawang.

Selang dua minit Syafiq akhirnya menemui sentuhan penyudah selepas penyerang JDT itu mudah menampan bola menewaskan Sharbinee hasil bola sepakan lintang Corbin Ong bermula daripada gerakan Cabrera.

Pemain gantian, Diogo Luis Santo mencetak nama selaku penjaring untuk meletak tuan rumah selesa 3-0 pada minit ke-59 berpunca daripada sepakan sudut Safawi yang mengelirukan dan pemain import termahal Liga Malaysia (Liga M) itu sekadar menampan bola menewaskan Sharbinee.

Pada minit ke-77, pelawat berjaya mencipta gol selepas kesilapan benteng tuan rumah yang gagal mengeluarkan bola dari kawasan bahaya menyaksikan Comvales bertindak merembat kencang dari luar kotak penalti menewaskan Farizal.

Namun Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham menamatkan sisa perjuangan anak didik Yusri Che Lah selepas melengkapkan kemenangan tuan rumah 4-1 apabila merembat kencang bola di dalam kotak penalti menewaskan Sharbinee pada minit ke-89.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Februari 2019 @ 11:49 PM