ZAINAL tetap berpuas hati dengan prestasi Melaka walaupun skuad terbabit gagal melangkah ke suku akhir Piala Malaysia musim ini. FOTO NSTP
ZAINAL tetap berpuas hati dengan prestasi Melaka walaupun skuad terbabit gagal melangkah ke suku akhir Piala Malaysia musim ini. FOTO NSTP
Oleh Nazri Abu Bakar


Melaka: Persembahan keseluruhan pasukan Melaka tetap membanggakan buat ketua jurulatihnya, Zainal Abidin Hassan walaupun skuad terbabit gagal melangkah ke suku akhir Piala Malaysia musim ini.

Baginya kekalahan 1-2 kepada Selangor pada aksi pusingan pertama Piala Malaysia di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput malam tadi sehingga menutup peluang untuk mara lebih jauh tetap dibanggakan dengan usaha dan semangat juang tinggi pemain.

Katanya, pemain jelas memfokuskan kepada persembahan terbaik namun kesilapan memberi ruang dua jaringan kepada lawan menjadi pemisah kepada usaha ke suku akhir.

Menurutnya, keseluruhan anak buahnya bermain dengan prestasi yang memuaskan terutama di awal liga walaupun terdapat persembahan terumbang ambing pada penghujung musim, tetapi mereka bertindak dengan bersungguh-sungguh.

"Situasi semasa termasuk susulan pandemik Covid- 19 dengan perubahan jadual dan format sukar dijangkakan dalam usaha melepasi impian yang diharapkan.

"Tahniah kepada Selangor yang meneruskan perjuangan. Selepas ini saya berehat sementara dalam masa sama menyerahkan kepada pengurusan untuk segala-galanya terhadap pasukan," katanya.

Sementara itu, pengurus pasukan Hang Tuah, Muhammad Akram Abdullah berkata, pasukan terbabit sebenarnya sudah menunjukkan prestasi yang cukup baik ketika berdepan skuad Merah Kuning cuma keputusan tidak menyebelahi anak buah jurulatih Zainal Abidin.

Katanya, bahagian serangan diakui agak kurang tajam untuk mencipta lebih gol dengan beberapa peluang yang terhidang gagal disudahkan dengan jaringan.

"Bagi saya melihat keseluruhan perlawanan adalah baik. Bagaimanapun, kami tidak mengambil peluang perlawanan beraksi di tempat sendiri sebagai kelebihan dalam merubah keputusan.

"Apa pun saya mengucapkan terima kasih kepada seluruh pasukan, atas setiap usaha yang dilakukan,"katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 November 2020 @ 8:17 PM