SHAHIDAN akan menerima jawatan selepas membuat semakan dengan agensi-agensi berkaitan bagi memastikan KL City FC bebas dari sebarang isu. FOTO NSTP
SHAHIDAN akan menerima jawatan selepas membuat semakan dengan agensi-agensi berkaitan bagi memastikan KL City FC bebas dari sebarang isu. FOTO NSTP
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim mengesahkan beliau belum lagi menerima tawaran untuk menjadi Penaung merangkap Presiden Kuala Lumpur City FC (KL City).

Jelas Shahidan, beliau mahu membuat semakan terlebih dahulu dengan beberapa agensi kerajaan terutamanya pihak berkuasa sebelum membuat keputusan menerima jawatan berkenaan.

Katanya, ia penting bagi memastikan KL City bersih daripada sebarang isu yang boleh merencatkan pasukan itu.

"Saya berterima kasih atas pelantikan sebagai Penaung merangkap Presiden KL City FC seperti yang diumumkan oleh Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur, YB Khalid Samad.

"Bagaimanapun saya akan menerima jawatan tersebut setelah saya membuat semakan dengan agensi-agensi berkaitan bagi memastikan KL City FC bebas dari sebarang isu.

"Ini bagi memastikan prestasi kelab bola sepak tersebut sentiasa berada pada tahap terbaik," katanya ketika dihubungi, malah satu kenyataan media juga sudah dikeluarkan.

Ketika ini, KLFA dan KL City sedang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu pecah amanah dan salah guna kuasa membabitkan wang tajaan KL City dan tanah Akademi KLFA di Desa Melawati, dengan anggaran jutaan ringgit.

Difahamkan, SPRM menyerbu pejabat KLFA pada minggu lalu untuk mendapatkan dokumen-dokumen penting bagi tujuan siasatan.

Semalam, KL City mengumumkan perlantikan Shahidan sebagai penaung dan Presiden yang baharu bagi menggantikan tempat Tan Sri Annuar Musa.

Presiden KLFA, Khalid Abdul Samad berkata, pelantikan Shahidan akan menjadi bukti perpaduan melalui sukan bola sepak walaupun berbeza fahaman politik.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Ogos 2022 @ 4:40 PM