TANAH Akademi KLFA di Desa Melawati.
TANAH Akademi KLFA di Desa Melawati.
Oleh Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Ke mana perginya dana bantuan RM3 juta yang diberikan pihak swasta, Suede Realty pada 25 Jun lalu?

Itu persoalan yang timbul dan harus dijawab oleh Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) selepas Suede Realty yang memiliki hak ke atas tanah Akademi Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) di Desa Melawati mempersoalkan perkara itu.

Menerusi maklumat terbaharu diperoleh Arena Metro, atas semangat kerjasama dan rasa tanggungjawab, Suede Realty bersetuju membantu KLFA memulangkan kembali dana pinjaman kepada pihak Sinmah Properties Sdn Bhd pada 25 Jun lalu dengan syarat kerjasama itu perlu ditamatkan.

Namun selepas dua bulan, KLFA didapati masih meneruskan kerjasama dengan Sinmah Properties Sdn Bhd, dan satu notis sudah diserahkan kepada pihak KLFA bagi menjawab isu berkenaan.

Menurut sumber, peguam yang mewakili pihak swasta, Suede Realty kini membiarkan kes berkenaan disiasat SPRM di mana tanah akademi berkenaan sudah diberikan oleh KLFA kepada pihak Suede Realty sebelum ini.

"Pihak peguam sudah membaca laporan muka belakang Arena Metro hari ini (semalam) berkenaan 'Pejabat KLFA diserbu SPRM' dan laporan itu tepat.

"Namun ia kini sudah disiasat oleh SPRM dan kita tunggu hasil siasatan itu dulu," kata sumber ketika dihubungi.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan pejabat KLFA diserbu pegawai SPRM pada minggu lalu kerana disyaki wujud unsur pecah amanah dan salah guna kuasa membabitkan wang tajaan Kuala Lumpur City FC (KL City) dan tanah Akademi KLFA di Desa Melawati, dengan anggaran jutaan ringgit.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Ogos 2022 @ 7:00 AM