TFC menanti selama 11 tahun untuk mara ke pentas final merebut trofi Piala FA. FOTO Arkib NSTP
TFC menanti selama 11 tahun untuk mara ke pentas final merebut trofi Piala FA. FOTO Arkib NSTP
Malik Muhamad

Kuala Terengganu: Kerajaan Terengganu mengumumkan cuti peristiwa pada 11 September sempena perlawanan akhir Piala FA antara Terengganu FC (TFC) menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Nasional Bukit Jalil, pada 10 September depan.

Menerusi kenyataan media hari ini, Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ia memastikan penyokong Terengganu tidak terburu-buru di jalan raya dan dapat mengatur masa untuk perjalanan pulang.

"Alhamdulillah, seperti yang kita sedia maklum, TFC berjaya mara ke perlawanan akhir Piala FA di Stadium Bukit Jalil pada 10 September 2022, Sabtu nanti, bertemu dengan pasukan JDT.

"Berikutan itu kerajaan negeri bersetuju mengisytiharkan 11 September 2022 iaitu hari Ahad sebagai cuti peristiwa bagi Terengganu.

"Kepada pasukan kesayangan semua, saya berharap pemain dapat memberikan fokus yang maksimum dan mempersembahkan aksi yang terbaik sekali gus merealisasikan harapan kita untuk membawa pulang Piala FA diiringi ribuan penyokong ke Terengganu, Insya-Allah," katanya menerusi kenyataan berkenaan.

Pada 6 Ogos lalu, TFC yang menanti selama 11 tahun untuk mara ke pentas final merebut trofi berprestij itu berjaya melangkah ke pentas akhir.

Ia susulan kejayaan membenam Selangor FC dengan penentuan sepakan penalti 4-2 selepas kedudukan sebenar terikat 1-1 pada peringkat separuh akhir yang berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak.

Kali terakhir Terengganu menjulang trofi piala itu pada 2011 bawah kendalian jurulatih berpengalaman, Irfan Bakti Abu Salim selepas menumpaskan pasukan jiran, Kelantan 2-1.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Ogos 2022 @ 10:21 AM