Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Kerajaan negeri Terengganu menjanjikan habuan kepada pemain Terengganu FC (TFC) jika berjaya menewaskan Johor Darul Ta'zim (JDT) di final Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.

Walaupun belum mengumumkan secara terperinci jumlah ganjaran bakal diterima pemain dan barisan kejurulatihan, tapi habuan berkenaan adalah lumayan.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ganjaran berupa wang tunai itu adalah suntikan semangat tambahan kepada wira TFC menjelang aksi final itu nanti.

"Saya percaya semangat dan moral pasukan TFC kini berada dalam keadaan terbaik walaupun sedar akan berdepan cabaran getir daripada gergasi Liga Malaysia (Liga M) pada perlawanan akhir Sabtu ini.

"Jika mereka berjaya memperkemaskan kelemahan yang ada, saya yakin dan percaya tiada sebab TFC tidak mampu menumbangkan JDT, lagipun mereka kini berada dalam momentum positif selepas melakar empat kemenangan berturut-turut dalam Liga Super.

"Jadi, kerajaan negeri bersetuju untuk memberikan insentif sekiranya TFC menang dan menamatkan penantian kejuaraan selama 11 tahun, tapi jumlahnya kita akan umumkan selepas merangkul trofi itu nanti," katanya.

Beliau yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) berkata demikian ketika ditemui selepas mengiringi dan memberikan kata-kata semangat kepada pemain yang berlepas ke ibu negara dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud, di sini, hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Datuk Tengku Farouk Hussin Tengku Abdul Jalil dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Pertubuhan Bukan kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah.

Sementara, Ahmad Samsuri turut mengingatkan penyokong TFC yang membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil agar berhati-hati dalam perjalanan serta dapat mengamalkan disiplin dan semangat kesukanan tinggi.

Kali terakhir Terengganu menjulang trofi Piala FA pada 2011 menundukkan Kelantan 2-1 ketika bawah kendalian jurulatih berpengalaman, Irfan Bakti Abu Salim.

AHMAD Shamsuri (empat dari kanan) berbual dengan pemain TFC sebelum mereka berlepas ke Kuala Lumpur, hari ini. FOTO GHAZALI KORI
AHMAD Shamsuri (empat dari kanan) berbual dengan pemain TFC sebelum mereka berlepas ke Kuala Lumpur, hari ini. FOTO GHAZALI KORI

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 September 2022 @ 8:10 PM