JEMAAH bersolat di ruang solat yang disediakan pihak stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Bukit Jalil.
JEMAAH bersolat di ruang solat yang disediakan pihak stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Bukit Jalil.
Affan Rostam


Kuala Lumpur: Solat dulu baru bola. Itu prinsip yang dipegang sebahagian penyokong bola sepak Terengganu FC (TFC) dan Johor Darul Ta'zim (JDT) apabila mereka menunaikan tanggung jawab terlebih dahulu dengan solat Maghrib secara berjemaah sebelum masuk ke dalam stadium.

Mereka memanfaatkan ruang solat yang disediakan oleh pihak stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Bukit Jalil.

Difahamkan, pihak stesen LRT Bukit Jalil menyediakan ruangan solat untuk lelaki dan wanita selepas mengambil kira kesesakan yang bakal dialami di surau sekitar Stadium Nasional Bukit Jalil hari ini.

Menurut salah seorang penyokong TFC, Farehul Mustaqim, 33, penyediaan ruang solat kali ini sangat memudahkan urusan penyokong yang datang untuk menunaikan solat sebelum menyaksikan perlawanan akhir Piala FA diantara TFC dan JDT.

"Alhamdulillah, bila mereka (pihak LRT) menyediakan tempat solat macam ini memang memudahkan. Terutamanya bila waktu maghrib macam ini sebab surau dekat luar itu memang penuh. Saya pun lebih selesa di sini," katanya ketika ditemui usai solat Maghrib di ruangan solat lelaki LRT Bukit Jalil, hari ini.

Perlawanan akhir Piala FA membabitkan pasukan JDT dan TFC dijadual berlangsung pada jam 9 malam ini di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 September 2022 @ 8:07 PM