KANE menanduk masuk jaringan kemenangan Spurs. FOTO AP
KANE menanduk masuk jaringan kemenangan Spurs. FOTO AP
Reuters

London: Harry Kane mencatat rekod Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila jaringan menerusi tandukan berjaya membantu Tottenham Hotspur menang 1-0 di laman sendiri ke atas Wolverhampton Wanderers.

Tottenham bergelut pada separuh masa pertama namun mereka mempamerkan corak permainan berbeza selepas rehat dengan Kane menjaringkan gol pada minit ke-64 untuk jaringan EPL yang ke-185.

Tidak ada pemain lain yang menjaringkan gol sebanyak itu untuk satu kelab, dengan ketua pasukan England itu berjaya mengatasi Sergio Aguero ketika mencatat rekod bersama Manchester City.

Wolves, yang sekarang ini belum mencatat kemenangan selepas 10 aksi terakhir EPL, melakukan 12 percubaan di separuh masa pertama namun tidak ada satu menemui sasaran.

Tottenham selepas itu bangkit, dengan Kane dan Son Heung Min melakukan percubaan mengenai palang sebelum tandukan penyerang sensasi mereka itu menerjah jaring berpunca dari sepakan sudut.

Ia adalah gol EPL ke-1,000 buat Tottenham di laman sendiri dan membolehkan mereka meraih tujuh mata selepas tiga perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Ogos 2022 @ 9:58 PM