HEUNG Min (kiri) cuba untuk melepasi pertahanan Arsenal, Rob Holding dalam aksi awal pagi tadi. FOTO Agensi
HEUNG Min (kiri) cuba untuk melepasi pertahanan Arsenal, Rob Holding dalam aksi awal pagi tadi. FOTO Agensi
AFP

London: Son Heung Min dan Harry Kane membantu Tottenham kembali merampas kedudukan teratas Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas berjaya menundukkan Arsenal 2-0 di depan 2,000 penyokong sendiri di Stadium Tottenham Hotspur.

Spurs mendahului dalam aksi seteru tetangga London utara pada minit ke-13 menerusi gol menarik Heung Min.

Pemain antarabangsa Korea Selatan itu bergerak bebas dari sebelah kiri, sebelum masuk ke bahagian tengah dan melepaskan rembatan lencong dari luar petak penalti menuju ke bucu pintu gol lawan.

Pasukan tuan rumah menggandakan jaringan sebelum rehat apabila Kane melepaskan rembatan dari jarak dekat.

Heung Min dan Kane sekarang ini sudah mengumpul 31 jaringan EPL, kedua tertinggi selepas gandingan Chelsea, Didier Drogba dan Frank Lampard (36).

Tottenham sekarang sudah mengumpul 24 mata selepas 11 perlawanan dua mata mengatasi Chelsea yang sempat menghuni tangga teratas semalam.

"Harry Kane mengeluarkan bola dari kawasan bahaya, Sonny pada 60 minit pertama bertindak sebagai pemain sayap dan pembantu penyerang, ia bukan hanya menjaringkan gol dan menjadi pemain berkelas dunia.

"Ia adalah menjadi seorang yang hebat dan melakukan yang terbaik untuk pasukan. Kami sentiasa berkembang. Saya dapat bayangkan bagaimana orang di luar sana melihat kami berdepan tiga perlawanan berturut-turut menentang Manchester City, Chelsea dan Arsenal.

"Kami akan kehilangan mata dan kembali kepada tahap asal tapi kami tidak kembali pada tahap asal. Kami berada di puncak liga," kata Jose Mourinho.

Berbeza pula dengan Arsenal, mereka sekarang ini di tangga ke-15 liga selepas mencatat kekalahan keenam musim ini dan bergelut untuk mencari jaringan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Disember 2020 @ 8:24 AM