SEBAHAGIAN aksi pemain Kelantan FC ketika sesi latihan bagi persediaan menentang Terengganu FC II, esok.  FOTO Ihsan TRW Kelantan FC
SEBAHAGIAN aksi pemain Kelantan FC ketika sesi latihan bagi persediaan menentang Terengganu FC II, esok. FOTO Ihsan TRW Kelantan FC
Nor Amalina Alias


Kota Bharu: Berbaki tiga lagi perlawanan, pendahulu liga, Kelantan FC enggan dikalahkan bagi merealisasikan hasrat menjadi juara liga perdana, musim ini.

Ketua Jurulatihnya, Rezal Zambery Yahya berkata, mereka membawa misi tiga mata penuh bagi baki saingan termasuk menentang Terengganu FC II, esok.

Rezal berkata, baki perlawanan ini sangat penting dan berharap pemainnya tidak berada di zon selesa.

"Kami masih dalam misi tiga mata penuh dan semua orang harus bersatu hati.

Kesungguhan semua pemain perlu diterjemahkan dalam perlawanan dan saya yakin perkara ini (dapat tiga mata) akan menjadi sebab untuk pasukan ini disegani," katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Ketua jurulatih kelahiran Johor itu berkata, jarak masa seminggu daripada perlawanan lalu, dia berharap isu kecederaan yang menghantui pemainnya dapat dikurangkan dan mampu pulih sebelum perlawanan.

Katanya, selain Terengganu FC II, pihaknya juga perlu bersedia menghadapi saingan Selangor FC II.

"Kedua-dua pasukan ini mempunyai kekuatan yang berbeza, namun kita fokus pada perlawanan, harus beri yang terbaik esok," katanya.

Kelantan kini menduduki tempat pertama dengan 35 mata terkumpul namun sedikit kesilapan boleh mencalarkan impian skuad Kijang Merah merangkul gelaran juara Liga Perdana musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Ogos 2022 @ 2:54 PM