KETUA Pegawai Eksekutif Tesla, Elon Musk. FOTO REUTERS
KETUA Pegawai Eksekutif Tesla, Elon Musk. FOTO REUTERS
Reuters

London: Ketua Pegawai Eksekutif Tesla, Elon Musk, hari ini menyatakan dia mahu membeli kelab bola sepak Manchester United Plc.

Musk yang juga lelaki terkaya di dunia membuat pengumuman mengejutkan itu di Twitternya dan dia memiliki sejarah melakukan tweet tidak berkaitan dan tidak dapat dipastikan sama ada dia melakukan rundingan itu.

"Saya sedang membeli Manchester United, terima kasih," tulis Musk di Twitternya.

Manchester United adalah antara kelab bola sepak memiliki paling ramai penyokong di dunia.

Mereka mencipta rekod muncul juara England sebanyak 20 kali dan muncul juara Eropah sebanyak tiga kali.

Pasukan itu kini dimiliki keluarga Glazer dari Amerika Syarikat (AS), yang tidak memberikan komen mengenai perkara itu.

Kelab itu memiliki modal pasaran AS$2.08 bilion (RM9.28 bilion) berdasarkan pasaran saham yang ditutup semalam.

Sejak beberapa tahun kebelakangan, penyokong Manchester United melakukan protes terhadap the Glazers, yang membeli kelab itu dengan harga AS$955.51 juta (RM4.265 bilion) pada 2005, susulan prestasi menjunam pasukan di tengah padang.

Gerakan anti-Glazer semakin memuncak pada tahun lalu apabila United turut terbabit untuk menubuhkan Liga Super Eropagh, sebelum rancangan itu gagal.

Sebahagian penyokong menggesa Musk membeli Manchester United dan bukannya Twitter.

Musk sedang berusaha untuk keluar daripada perjanjian AS$44 bilion bagi membeli syarikat sosial media itu, yang membawanya ke mahkamah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Ogos 2022 @ 9:37 AM