SYIHAN ketika menyarung jersi Harimau Malaya.
SYIHAN ketika menyarung jersi Harimau Malaya.
Mohd Amin Jalil


Seremban: "Saya belum memikirkan lagi mengenai musim depan kerana fokus saya ketika ini hanya untuk membantu pasukan Negeri Sembilan FC (NSFC) meraih kejayaan cemerlang dalam Liga Super dan Piala Malaysia tahun ini," kata penjaga gol utama NSFC, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed.

Pemain kebangsaan berusia 26 tahun itu diminta mengulas mengenai khabar angin dirinya sedang dirisik beberapa pasukan dalam Liga Malaysia (Liga M) untuk mendapatkan khidmatnya bagi musim depan.

Syihan tidak menafikan sememangnya ada pihak yang mendakwa mewakili dua pasukan yang bersaing dalam Liga Super musim ini menghubunginya, namun enggan menyebut nama pasukan terbabit.

"Memang ada pihak bertanyakan hal itu, tetapi saya jelaskan belum memikirkan lagi perkara itu kerana mahu memberikan tumpuan kepada pasukan Negeri Sembilan dalam menghadapi saingan Liga Super.

"Ada amanah dan tanggungjawab perlu dipikul ketika ini bersama Negeri Sembilan kerana masih terdapat baki lima perlawanan lagi yang perlu diharungi sebelum saingan Liga Super musim ini berakhir.

"Impian menjulang nama Negeri Sembilan dalam liga utama musim ini belum mencapai kemuncaknya dan fokus perlu diberikan sehingga ke penghujung saingan nanti," katanya di sini, hari ini.

Menurut Syihan, dia masih terus berusaha meningkatkan lagi tahap persembahannya kerana cabaran dalam perlawanan akan datang adalah sengit membabitkan pencabar utama termasuk Johor Darul Ta`zim (JDT), Kedah Darul Aman FC, Melaka United FC dan Sri Pahang FC.

Katanya, dia perlu memberikan kerjasama dan komitmen sepenuhnya kepada rakan-rakan dalam skuad Hobin Jang Hobin itu, untuk memastikan pasukannya dapat menamatkan baki saingan dengan kemenangan.

"Saya harus memberikan tumpuan terlebih dulu kepada tugasan penting dan mencabar ini kerana peluang Negeri Sembilan menamatkan saingan di tempat kedua liga masih terbuka.

"Saya berharap pasukan dapat menamatkan saingan di kedudukan yang baik dalam carta liga," kata pemain kelahiran Kelantan ini.

Prestasi Syihan mula terserlah seawal musim ini sehingga membawa dia menyertai skuad Harimau Malaya bagi menghadapi kempen kelayakan Piala Asia 2023.

Ketika ini Negeri Sembilan menduduki tangga ketiga carta Liga Super dengan mengumpl 32 mata selepas menamatkan 17 perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Ogos 2022 @ 4:17 PM