SYIHAN Hazmi sudah bersedia melakukan persembahan terbaik dan menyelamatkan gawang NSFC menjelang pertembungan dengan Selangor FC di Paroi, Selasa ini. FOTO Ihsan MFL
SYIHAN Hazmi sudah bersedia melakukan persembahan terbaik dan menyelamatkan gawang NSFC menjelang pertembungan dengan Selangor FC di Paroi, Selasa ini. FOTO Ihsan MFL
Mohd Amin Jalil


Seremban: Berjaya memperagakan aksi mantap membantu pasukannya memenangi cabaran pertama Liga Super, penjaga gol Negeri Sembilan FC (NSFC), Ahmad Syihan Hazmi Mohamed mahu meneruskan pencapaian itu pada pertembungan dengan Selangor FC, Selasa ini.

Pada aksi pembuka tirai liga menentang Sabah FC di gelanggang lawan sebelum ini, penjaga gawang berusia 25 tahun itu berjaya menyelamatkan beberapa percubaan merbahaya termasuk penalti.

Perlawanan itu dimenangi skuad Hobin Jang Hobin menerusi jaringan tunggal pertahanan kiri, Khair Jones.

Kini, Syihan Hazmi bertekad meneruskan aksi cemerlang itu dengan menjadikan perlawanan Selasa nanti milik Negeri Sembilan, yang memerlukan kemenangan untuk berada dalam kedudukan terbaik carta liga.

"Selaku penjaga gol, tugas saya memastikan gawang pasukan tidak bolos, namun tugas itu bukan mudah kerana Selangor memiliki jentera serangan yang berwibawa.

"Saya perlu kekal fokus sepanjang tempoh perlawanan dan membuat jangkaan yang tepat arah bola ke kawasan gol supaya setiap percubaan daripada pemain lawan dapat diselamatkan.

"Saya juga perlu ada komunikasi yang baik dengan rakan lain terutama di bahagian pertahanan kerana ia penting dalam usaha mempertahankan kubu pasukan," katanya hari ini.

Menurut Syihan Hazmi, tugas utama setiap pemain adalah berusaha menterjemahkan segala strategi dan taktikal yang disusun ketua jurulatih, K Devan, sebaik mungkin.

Pemain kelahiran Kelantan itu percaya pertembungan itu nanti menjanjikan saingan sengit kerana masing-masing mahu memastikan misi tersendiri tercapai.

Dia bagaimanapun yakin dan percaya rakan sepasukan akan bekerja keras untuk membantu pasukan meraih kemenangan kedua musim ini.

"Kami akan berusaha memastikan kelebihan beraksi di laman sendiri nanti tidak disia-siakan," kata pemain yang pernah beraksi bersama Petaling Jaya (PJ) City FC, musim lalu.

Dalam pada itu, Syihan Hazmi akui keyakinannya untuk menggalas tugas dan tanggungjawab bagi menjulang Negeri Sembilan dalam Liga Malaysia (Liga M) musim ini kian meningkat.

Menurutnya, selain mendapat bimbingan daripada jurulatih penjaga gol berpengalaman yang juga bekas pemain Selangor, Megat Amir Faisal Ibrahim, rakan-rakan lain seperti Mohamad Zaquan Adha Abd Radzak dan Mohd Kaharuddin Abdul Rahman, turut membantu.

"Sokongan dan kerjasama baik daripada mereka banyak membantu saya dalam usaha meningkatkan lagi prestasi dan ia penting kerana perjalanan liga musim ini masih panjang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 April 2022 @ 5:03 PM