SYIHAN mahu pastikan gawang tidak dibolosi penyerang Selangor.
SYIHAN mahu pastikan gawang tidak dibolosi penyerang Selangor.
Mohd Amin Jalil

Seremban: Selepas membantu pasukannya menewaskan Terengganu FC (TFC) dalam aksi di laman sendiri Rabu lalu, penjaga gol Negeri Sembilan FC (NSFC), Ahmad Syihan Hazmi Mohamed berazam terus memperagakan aksi mantap bagi mempertahankan kubu Negeri Sembilan dalam saingan Liga Super musim ini.

Hasil persembahan cemerlang dengan menyelamatkan beberapa percubaan merbahaya penyerang Terengganu, penjaga gol berusia 26 tahun itu menerima pujian daripada penyokong skuad Hobin Jang Hobin.

Menjelang pertembungan dengan Selangor FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) Ahad ini, Syihan Hazmi bertekad memastikan kubu pasukannya itu tidak bolos sekali gus memastikan kemenangan dapat dicapai.

Malah dia akui, pujian daripada penyokong itu menambahkan lagi semangat dan keyakinan untuk beraksi cemerlang.

"Selaku penjaga gol, tugas utama saya untuk memastikan gawang Negeri Sembilan dapat dipertahankan, namun tugas itu bukan mudah kerana Selangor memiliki jentera serangan berwibawa.

"Saya perlu kekal fokus sepanjang tempoh perlawanan dan membuat jangkaan tepat arah bola ke kawasan gol supaya setiap percubaan daripada pemain lawan dapat diselamatkan.

"Saya juga perlu ada komunikasi yang baik dengan rakan lain terutama di bahagian pertahanan supaya usaha pemain lawan untuk melakukan percubaan ke arah gol dapat dihalang," katanya hari ini.

Syihan Hazmi yakin momentum baik hasil kemenangan ke atas Terengganu itu akan dapat meningkatkan lagi keyakinan dan semangat rakan-rakan lain, untuk meneruskan persembahan cemerlang bagi mendapatkan tiga mata.

Pemain berasal dari Kelantan itu bagaimanapun tetap mengingatkan rakan-rakannya supaya bersikap positif dan tidak hilang fokus kerana menjangkakan Selangor akan memberikan tentangan sengit, selepas mereka tewas kepada Pahang.

"Kami perlu berwaspada dengan kebangkitan Selangor yang sudah pasti mahu menebus kekecewaan mereka ke atas Pahang.

"Situasi ini sudah tentu akan memberikan cabaran besar buat kami, namun saya yakin menerusi persiapan rapi dibuat, pasukan mampu mencatat keputusan positif walaupun beraksi di tempat lawan.

"Sasaran kami mahu mengekalkan rekod baik ke atas Selangor selepas seri dengan pasukan itu pada aksi pusingan pertama sebelum ini," kata pemain kebangsaan itu yang bersedia memperagakan aksi terbaiknya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Julai 2022 @ 9:33 PM