MARTINEZ hadir untuk kukuhkan pertahanan United. FOTO AFP
MARTINEZ hadir untuk kukuhkan pertahanan United. FOTO AFP
Reuters

Manchester: Lisandro Martinez melengkapkan perpindahannya dari kelab Belanda, Ajax Amsterdam ke Manchester United dengan pemain pertahanan Argentina itu menandatangani kontrak lima tahun.

Ajax mencapai persetujuan dengan United awal bulan ini apabila pemain berusia 24 tahun itu berpindah hasil bayaran permulaan €57.37 juta (RM257 juta) dan tambahan €10 juta (RM45 juta).

United berkata mereka juga mempunyai pilihan untuk melanjutkan kontraknya untuk setahun lagi.

Selain posisi pertahanan tengah, Martinez juga boleh masuk ke bahagian tengah dan dia bergabung semula dengan pengurus Erik ten Hag, yang melatihnya selama tiga musim di Ajax.

"Ia satu penghormatan untuk menyertai kelab bola sepak yang hebat ini. Saya bekerja keras untuk sampai ke saat ini dan sekarang saya berada di sini, saya akan mendorong diri saya lebih jauh lagi," kata Martinez, yang juga pemain terbaik Ajax musim lalu.

"Saya cukup bertuah untuk menjadi sebahagian daripada pasukan yang berjaya dalam karier saya dan itulah yang saya mahu teruskan di Manchester United.

"Akan ada banyak kerja untuk dicapai pada saat ini, tetapi saya yakin bahawa di bawah pengurus dan jurulatih ini, dan bersama rakan sepasukan baharu saya, kami boleh melakukannya."

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Julai 2022 @ 10:30 PM