SUBKHIDDIN Mohd Salleh. FOTO Owee Ah Chun
SUBKHIDDIN Mohd Salleh. FOTO Owee Ah Chun
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Isu pengadil terus menjadi 'buah mulut' penyokong bola sepak tempatan dengan insiden terbaharu pula membabitkan seorang pengadil menendang pemain ketika berlangsungnya perlawanan suku akhir Piala FA, semalam.

Jelas sekali, pengadil dan isu sensasi tidak dapat dipisahkan apabila situasi berkenaan berlaku ketika perlawanan Sabah FC dan Selangor FC (SFC) sebelum tular di media sosial atas tindakan yang dilakukannya pada perlawanan di Stadium Likas itu.

Insiden itu tercetus pada masa tambahan separuh masa pertama dengan The Red Giants sedang mendahului skuad Badak 1-0 menerusi gol seawal minit pertama oleh Hyuri Henrique.

Menerusi klip video yang tular, pertahanan SFC, Fazly Mazlan melakukan kekasaran kepada pemain Sabah FC, Baddrol Bakhtiar yang menyebabkan Baddrol tergolek di atas padang.

Selepas itu, Fazly dilihat 'bertekak' dengan pengadil perlawanan, Suhaizi Sukri namun secara tiba-tiba Suhaizi mengangkat kakinya sedikit ke arah Fazly dan penyokong menyifatkan tindakan itu seperti mahu menendang Fazly.

Susulan kekasaran yang dilakukan pemain berusia 28 tahun itu, Fazly mendapat 'hadiah' apabila dilayangkan kad kuning oleh Suhaizi pada perlawanan itu.

Perlawanan itu berakhir dengan kemenangan buat anak buah Michael Feichtenbeiner selepas mereka melebarkan jurang menerusi gol kedua oleh Herlison Caion pada minit ke-81.

Ketika ditanya oleh pelayar laman sosial mengenai insiden itu, bekas Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Subkhiddin Mohd Salleh menerusi akaun Twitternya berkata kedua dua pihak perlulah diadili sebaiknya.

"Tiada pengecualian terhadap mana-mana pihak, lebih lebih lagi pengadil. Yang bersalah perlu diadili dengan sewajarnya.

"Saya perhatikan tangan pemain berkenaan terdapat sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku disitu. Biar mereka diadili sebaik baiknya," katanya.

Kemenangan itu membolehkan juara lima kali Piala FA itu menempah pertemuan dengan Terengganu FC (TFC) yang membelasah Kuching City FC 4-1 dalam satu lagi aksi suku akhir.

Baru-baru ini, kecoh di laman sosial selepas berlakunya insiden pengadil perlawanan tidak memberi kelebihan buat Kelantan FC pada aksi Liga Perdana menentang Johor Darul Ta'zim (JDTII) sekali gus mengundang rasa tidak puas hati pelbagai pihak berkaitan situasi berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Julai 2022 @ 4:04 PM