ERIK ten Hag. FOTO EPA
ERIK ten Hag. FOTO EPA
Agensi

London: Erik Ten Hag akan meraih bonus £3 juta (RM16 juta) jika dia membawa Manchester United kembali ke Liga Juara-Juara.

Gaji Ten Hag £9 juta (RM48.1 juta) setahun, hanya setengah daripada jumlah diperoleh Pep Guardiola yang membimbing Manchester City muncul juara Liga Perdana.

Bagaimanapun kontrak pengendali dari Belanda itu sarat dengan insentif yang akan membuatkannya tersenyum lebar jika berjaya membimbing United menduduki kelompok empat pasukan terbaik liga.

United bakal berdepan kerugian besar sekali lagi sekiranya mereka gagal meraih tiket beraksi di Liga Juara-Juara selepas mengharungi kempen cukup mengecewakan musim lalu.

Di bawah terma perjanjian penajaan £75 juta (RM400 juta) selama 10 tahun dengan Adidas, kelab itu akan kehilangan £25 juta (RM133.6 juta) jika gagal layak beraksi di Liga Juara-Juara buat kali kedua berturut-turut.

Kelab itu sudah merasai kesannya apabila tidak beraksi di Liga Juara-Juara ketika jendela perpindaan pemain.

Usaha mereka untuk menandatangani Frenkie de Jong dari Barcelona masih belum berjaya.

Manakala Cristiano Ronaldo mahu meninggalkan United yang beraksi di Liga Europa musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Julai 2022 @ 6:50 PM